Siakap Keli
Gambar Bernama

Polis Akan Mengesan 12 Kubur Orang Asli Yang Didakwa Telah Meninggal Dunia

GUA MUSANG, Polis akan mengesan kubur 12 Orang Asli suku kaum Batek yang didakwa telah meninggal dunia dan ditanam cara adat, di Kampung Kuala Koh dalam tempoh sebulan lalu akibat jangkitan kuman saluran pernafasan dan paru-paru.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, gerakan mengesan kubur berkenaan akan bermula esok, membabitkan 30 anggota dari Pasukan Gerak Am (PGA) dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Gua Musang.

Beliau berkata, beberapa penghulu Orang Asli juga akan ikut bersama dalam operasi terbabit, kerana mereka lebih tahu kawasan hutan berhampiran kampung itu, yang dikatakan menjadi tempat pengkebumian 12 orang yang meninggal dunia itu.

Katanya, apabila menemui kubur tersebut, pihaknya akan menggali semula untuk diambil mayat dan dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) tujuan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian mereka.

“Selagi tidak ditemui, maka selama itulah kita tidak dapat mengetahui punca kematian mereka,” katanya kepada pemberita di IPD Gua Musang, di sini, hari ini.

Sebelum itu, beliau meninjau dari udara Kampung Kuala Koh dan melihat saluran sungai didakwa tercemar dengan aktiviti perlombongan, yang dipercayai menjadi punca jangkitan kuman menyebabkan kematian.

Acryl Sani berkata, sehingga kini polis belum dapat mengesahkan kematian 12 penduduk Orang Asli berkenaan.

“Apa yang kita sedia maklum setakat ini, hanya dua sahaja Orang Asli yang meninggal dunia dilaporkan kepada polis, selepas bedah siasat dijalankan dan 12 orang lagi yang meninggal dunia, hanya dimaklumkan oleh pihak tertentu sahaja,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan meneliti dakwaan pengaliran air sungai yang menjadi keperluan kaum itu didakwa tercemar, sebagai penyebab jangkitan kuman saluran pernafasan dan paru-paru.

“Jika benar dakwaan itu, kita akan melakukan siasatan lebih terperinci untuk diambil tindakan selanjutnya,” katanya.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang