Siakap Keli
Gambar Hiasan

Si ‘Tanggang Moden’ Ugut Sembelih Ibu Kandung Kerana Tidak Diberi Wang

BATU GAJAH, Seorang anak mengugut untuk membunuh ibu kandungnya kerana tidak diberikan wang seperti yang diminta dalam satu kejadian di sini, tengah hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, ACP Ahmad Adnan Basri berkata suspek berumur 33 tahun, anak bongsu daripada lima beradik mengugut untuk membunuh ibunya yang berusia 71 tahun di rumah mereka di Kampung Ara Payong di sini.

Suspek telah meminta wang dan apabila ibunya enggan memberikan, suspek telah mengugut untuk menyembelih ibunya.

“Mangsa yang ketakutan kemudian keluar dari rumah dan meminta pertolongan daripada jiran dan membuat laporan di Balai Polis Batu Gajah,” kata Ahmad Adnan dalam satu kenyataan di sini, malam ini.

Beliau berkata bertindak atas maklumat sepasukan polis daripada Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah menangkap suspek di rumahnya kira-kira pukul 4 petang tadi.

Ahmad Adnan berkata suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap juga terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan ugutan bunuh itu merupakan kali kedua tahun ini. Kejadian pertama berlaku sebelum bulan Ramadan lepas namun tiada sebarang laporan polis dibuat.

Menurutnya suspek didapati positif dadah jenis MOP dan turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah. Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu melakukan ugutan jenayah.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang