Siakap Keli
Gambar Hiasan

Sumbat Mayat Wanita Dalam Kotak, Dipercayai Dibunuh Kekasih

JOHOR BAHRU,  Seorang wanita ditemukan mati semalam, dipercayai dibunuh kekasihnya dengan mayatnya dibuang di dalam kotak dan ditinggalkan di tepi jalan di Kawasan Perindustrian Ringan, Taman Setia Indah, di sini.

Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata mayat wanita berumur 33 tahun yang sudah berbau busuk itu ditemukan kira-kira 6.30 petang semalam sekali gus merungkai kes ‘Orang Hilang’ yang dilaporkan pada Jumaat lepas.

“Pasukan Siasatan Khas D9, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor menahan dua lelaki berumur 30-an bagi membantu siasatan berkaitan kes Orang Hilang iaitu seorang wanita berumur 33 tahun yang dilapor keluar rumah di Taman Sri Putri, Skudai, pada 28 Mei lepas dan gagal dihubungi oleh pihak keluarganya mulai 29 Mei.

“Hasil soal siasat terhadap kedua-dua tangkapan itu mendedahkan penglibatan mereka di dalam pembunuhan berkenaan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata seorang lelaki terbabit merupakan kekasih wanita tersebut dan dia membawa polis ke lokasi mayat wanita itu dibuang.

Beliau berkata lelaki itu turut mendedahkan dia berkenalan dengan wanita tersebut sejak lapan tahun lepas dan wanita itu dipercayai dipukul di sebuah premis perniagaan di perumahan sama, dengan tangan serta paip getah sehingga menyebabkannya rebah ketika mahu ke bilik air untuk mandi.

Katanya lelaki terbabit yang merupakan pembuat gigi palsu, terdahulu membaluti mayat wanita berkenaan dengan kanvas plastik dan ditinggalkan di dalam premis, namun, apabila mayat tersebut mula berbau, dia bertindak membalutinya pula dengan plaster siling.

Lelaki tersebut kemudian mendapatkan bantuan rakannya yang merupakan seorang kerani untuk mengangkat dan membuang kotak berisi mayat wanita itu di tepi jalan berkenaan, katanya.

Siasatan awal mempercayai lelaki itu membunuh wanita berkenaan antara 29 Mei dan 4 Jun lepas akibat cemburu buta.

Menurut Mohd Kamarudin, kedua-dua lelaki berkenaan yang memiliki rekod jenayah dan dadah kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh dan polis turut merampas tiga telefon bimbit daripada mereka untuk membantu siasatan.

Mayat wanita berkenaan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah, di sini, untuk bedah siasat dan polis sehubungan itu, turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di talian 07-2218999 atau Pegawai Penyiasat ASP S. Shanker di talian 019-2704622 untuk membantu siasatan.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang