Siakap Keli
Foto: Polygon/@agalanis17

Pecah Rekod Dunia, Lelaki Ini Tonton Filem Avengers: Endgame 112 Kali Di Pawagam

Ada rakan-rakan anda yang mendakwa mereka adalah peminat nombor satu Marvel? Jika ada, minta dia fikirkan semula. Ini kerana tiada siapa yang boleh mengalahkan Agustin Alanis, seorang pemuda dari Florida untuk gelaran itu.

Alanis membuktikan minatnya pada filem-filem Marvel Studios apabila mencipta rekod dunia dengan mendakwa telah menonton filem terkini, Avengers: Endgame sebanyak 112 kali di pawagam.

Perkara itu dikongsikan olehnya dalam satu kiriman yang dimuatnaik melalui akaun Twitter-nya pada Isnin.

Jumlah itu telah mengatasi rekod dunia yang dipegang oleh Anthony Mitchell yang telah menonton filem Avengers: Infinity Wars sebanyak 103 kali sebelum ini.

Ketika Mitchell mencipta rekod tersebut, beliau telah berjaya mencuri perhatian pengarah Avengers, Anthony J. Russo dan Joseph Vencent Russo atau lebih dikenali sebagai Russo Brothers.

Mereka berdua telah menjemput Mitchell untuk melihat sendiri suasana pengambaran filem Avengers: Endgame serta menonton premier bagi filem itu pada April. Beliau turut dihadiahkan 50 keping tiket Endgame sempena dengan itu.

Berbalik kepada Alanis, beliau memberitahu bahawa beliau berkerja selama 10 jam sehari dan akan menonton filem Endgame sebanyak dua kali ketika hari biasa.

Tidak dapat dipastikan sama ada Alanis akan terus menonton filem ini di masa akan datang atau pun tidak. Apa yang pasti, beliau adalah orang yang paling banyak membantu kutipan tiket Avengers: Endgame yang diperolehi ketika ini.

Sumber: Cinemablend, Twitter @agalanis17

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi