Pasti ramai ibu-ibu yang suka memasak sayur brokoli untuk si anak. Selain kaya dengan pelbagai nutrisi seperti asid folik, kalsium, zat besi, vitamin A, C, D, E dan K, sayur seperti brokoli juga boleh melatih fungsi psikomotor si kecil dengan memegang dan masukkan makanan ke mulutnya.
Selain itu, menurut Institut Penyelidikan Kanser Amerika, brokoli merupakan antara sayuran yang mempunyai ciri-ciri pencegah kanser melalui kandungan fitokimianya yang baik untuk sistem imun.

Kandungan kimianya dapat membantu proses detoksifikasi enzim dan bertindak sebagai antioksidan yang menghalang pembentukan radikal bebas yang boleh menyebabkan kanser serta mempengaruhi tahap hormon estrogen, memungkinkan sayuran ini untuk mengurangkan risiko kanser payudara.
Walaubagaimanapun, di sebalik khasiat-khasiat ini, tatacara penghidangan sayuran ini amat penting terutamanya apabila struktur fizikalnya yang boleh menjadi tempat persembunyian serangga-serangga halus seperti ulat.

Berikut merupakan cara untuk membersihkan brokoli dengan berkesan bagi menyingkirkan haiwan-haiwan kecil yang bersarang di dalamnya.
- Potong brokoli mengikut saiz yang sesuai supaya air rendaman dapat memasuki ke setiap cabangnya.
- Bancuh sebesen air garam suam. (boleh juga gunakan air garam sejuk dicampur 2 sudu cuka)
- Rendam brokoli yang telah dipotong selama 20 minit. Gaul secara berkala bagi menyingkirkan kotoran dan ulat-ulat di celahan brokoli.
- Sejatkan brokoli dan bilas dengan air sejuk. Simpan dalam plastik kedap udara jika ingin tahan lebih lama.



Selamat mencuba.
Sumber: Common Sense Home, LiveScience, Ilmu Pengetahuan Umum