Siakap Keli

(Video) Maritim Usir Bot Nelayan Indonesia Ceroboh Perairan Malaysia

PERAK, 12 Jun – Atas semangat serumpun di samping menghormati sambutan Eidul Fitri di bulan Syawal ini, KM Marlin dari Maritim Negeri Perak telah melepaskan sebuah bot nelayan Indonesia yang menceroboh perairan Malaysia berdekatan Pulau Jarak untuk pulang ke negara asal.

Kepten Maritim Wan Mat bin Wan Abdullah Pengarah Maritim Negeri Perak berkata, bot berkenaan telah diarahkan pulang ke Indonesia pada jam 11.30 hari ini.

Jelas beliau lagi, sebelum kejadian, KM Marlin telah mengesan bot nelayan itu menceroboh dan cuba menangkap ikan di kedudukan 10 batu nautika selatan Pulau Jarak.

“KM Marlin yang ditugaskan menjalankan OP PAGAR LAUT di kawasan perairan sempadan Malaysia – Indonesia telah memintas bot tersebut dan kemudian mengusirnya keluar dari perairan Malaysia.

“Atas semangat serumpun dan ditambah masyarakat Islam sedunia sedang meraikan Aidil Fitri, bot nelayan Indonesia itu tidak ditahan sebaliknya diusir keluar, balik ke negara asal mereka”, katanya.

Tambah beliau lagi, aset-aset Maritim Negeri Perak telah diletakkan di kawasan tersebut bagi memperketatkan lagi kawalan persempadanan maritim negara sejak kapal-kapal penguatkuasa maritim negara jiran itu dilaporkan sering memasuki perairan Malaysia dan mengganggu bot-bot nelayan tempatan yang menangkap ikan di kawasan berdekatan sempadan negara.

Sumber: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

Daus Ishak

Jangan terpaku terlalu lama dengan kejayaanmu