Siakap Keli
Gambar Hiasan(Foto: ALT949/HotBros Mercantile)

Saintis Mendakwa Telah Temui Cara Untuk Tukar Darah Jenis A Kepada Darah Jenis O

Di dalam tubuh badan setiap manusia, terdapat darah yang mengalir dan berfungsi sebagi medium yang mengalirkan gas dan bahan terlarut dari bahagian tubuh ke bahagian yang lain.

Bagaimanapun, tidak semua daripada kita memiliki kumpulan jenis darah yang sama. Terdapat empat(4) kumpulan jenis darah berbeza iaitu O, A, B dan AB di mana kesemua mereka juga terbahagi kepada dua iaitu positif(+) dan negatif(-).

Malah, tidak semua kumpulan darah ini boleh menderma atau menerima darah kepada kumpulan jenis darah yang lain. Sebagai contoh, kumpulan darah O boleh menderma kepada semua kumpulan darah lain, tetapi hanya boleh menerima kumpulan darah jenis O sahaja.

Foto: NY Blood Center

Ia dikatakan menjadi antara punca yang menyebabkan simpanan darah jenis itu sangat terhad di hospital-hospital dan jika diperhatikan semula, rayuan pendermaan darah jenis O adalah antara yang paling kerap kita dengar di media-media sosial.

Bagaimanapun, masalah tersebut mungkin akan dapat diselesaikan tidak lama lagi. Ini kerana kumpulan saintis yang diketuai oleh Stephen Withers dari Universiti British Columbia(UBC) mendakwa mereka telah menemui cara untuk ‘menukarkan’ darah jenis A kepada darah jenis O.

Menurut Withers, pasukannya telah berjaya mencipta satu strain enzim ‘mutant’ melalui teknologi yang mereka gelar ‘directed evolution’. Enzim inilah yang akan digunakan untuk membawa keluar moieties dengan lebihan terminal N-acetylgalactosamine yang ada pada darah jenis A.

Mereka juga mendakwa menemui cara untuk melakukan perkara sama dengan darah jenis B, namun hanya menfokuskan kepada kumpulan darah jenis A sahaja ketika ini memandang ia adalah lebih sering dijumpai.

Walaupun kajian ini menunjukkan petanda positif, kumpulan saintis ini masih perlu melakukan ujian yang lebih terperinci sebelum benar-benar menggunakan darah jenis A yang telah diubahsuai ini kepada manusia.

Diharapkan bahawa kajian dan usaha mereka ini akan berjaya dan dapat membantu menyelesaikan krisis kekurangan simpanan darah jenis O yang sedang dihadapi oleh kebanyakan negara di dunia ketika ini.

Sumber: UBC, Science Alert, Science Mag

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi