Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Rantau, Pegawai Penguasa Kanan Bomba K. Putthisigamany berkata dalam kejadian 2.30 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Mahazir Hanif Idrus, 38, dari Felda Selancar 2 di Segamat, Johor, dipercayai sedang membetulkan lampu titi di tengah loji sebelum jatuh ke dalam loji akibat tiang lampu berkenaan patah.
“Loji tersebut mempunyai kedalaman lima meter dan dasarnya berlumpur. Jadi pihak bomba perlu menunggu air tersebut dikeluarkan terlebih dahulu sebelum membolehkan operasi mengeluarkan mangsa dilakukan.
“Operasi ini mengambil masa selama 45 minit dan mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 3.30 petang tadi,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Putthisigamany berkata seramai lapan anggota daripada balai berkenaan dikerahkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 2.34 petang.
— BERNAMA