Siakap Keli

Perhilitan Akan Kerjasama Dengan PDRM, ATM Dalam Ops Belang

KUALA LUMPUR, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam Ops Belang bagi mengekang pemburuan haram harimau belang (Panthera Tigris).

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar berkata langkah itu diambil bagi meningkatkan lagi keberkesanan operasi berikutan populasi haiwan tersebut yang kini berada pada tahap membimbangkan dan diancam kepupusan dengan kurang daripada 200 ekor yang masih hidup.

“Kekurangan kakitangan menjadi antara cabaran bagi memerangi kegiatan pemburu haram Harimau Malaya (harimau belang) ini.

Maka selain daripada bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), polis dan tentera juga bakal bersama dalam Ops Belang ini… dalam rondaan hutan bersama, kita boleh pastikan tidak ada pemburu dalam hutan, selain mencari dan membuang jerat yang ada,” katanya selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel (BNC) di Wisma Bernama di sini malam ini.

Ditanya mengenai punca harimau belang diburu, Xavier berkata ia berikutan harga tinggi di pasaran gelap yang dianggarkan hampir US$200,000 (RM833,720), seekor.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata sejak Ops Belang dijalankan bermula Januari hingga kini, seramai 19 individu telah ditahan termasuk enam warga Myanmar, tiga warga Kemboja, selain 10 warga tempatan.

“Seramai 200 kakitangan terlibat setiap bulan dalam Ops Belang di 20 kawasan panas pemburuan di Semenanjung Malaysia,” katanya.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang