Siakap Keli
Foto: BBC

Ramai Yang Tak Perasan, Sudan Kini Sedang Hadapi Krisis Keamanan Teruk, Ratusan Mati Dan Ramai Wanita Dirogol

Apabila bercakap mengenai krisis keamanan, pasti negara-negara seperti Palestin dan Syria menjadi yang terawal terlintas di fikiran kita. Ini kerana mereka sudah menghadapinya buat sekian lama dan mendapat liputan yang meluas.

Akan tetapi, masih ramai sebenarnya yang tidak tahu atau tidak  perasan bahawa negara Sudan ketika ini juga sedang mengalami masalah sama sejak beberapa bulan yang lalu.

Tahukah anda yang setakat ini dilaporkan sudah hampir beratus orang terkorban, berpuluh orang wanita dirogol serta lebih kurang 1000 orang dilaporkan hilang sejak pemberontakan Sudan bermula pada Disember tahun lalu.

Bagaimana Ia Bermula?

Masalah ini bermula selepas kerajaan Sudah pada Disember 2018 telah bertindak menaikkan harga barangan keperluan harian seperti petrol dan roti sebagai salah satu cara memulihkan ekonomi mereka.

Presiden Omar al-Bashir(Foto: BBC)

Walaubagaimanapun, rakyat sukar untuk menerima kenyataan itu dan mereka mula melakukan protes dan tunjuk perasaan untuk menuntut Presiden Sudan ketika itu, Omar al-Bashir(gambar) untuk meletakkan jawatan.

Ia mencapai kemuncak pada April apabila para penentang berkumpul di hadapan ibu pejabat tentera dan mahukan pihak tentera masuk campur dalam menggulingkan Presiden Omar al-Bashir dan usaha itu berjaya. Lima(5) hari selepas itu, Omar meletakkan jawatan dan dia diletakkan dibawah perlindungan tahap tinggi selepas itu.

Rakyat Masih Tidak Dapat Apa Yang Mereka Mahu

Selepas Omar al-Bashir berjaya diturunkan dari jawatannya, Sudan telah diperintah oleh majlis tentera yang diketuai oleh Leftenan General Abdel Fattah Abdelrahman Burhan(gambar).

Abdel Fattah Abdelrahman Burhan(Foto: BBC)

Namun, rakyat mahukan pihak tentera mengembalikan hak memilih pemimpin kepada rakyat melalui pilihanraya demokratik. Jadi, mereka telah kembali ke jalanan untuk menyuarakan kemahuan mereka. Tunjuk perasaan ini turut disertai oleh golongan profesional termasuk doktor dan peguam.

Sehubungan itu, wakil dari pihak tentera dan penunjuk perasaan telah bertemu dan berbincang mengenainya. Akan tetapi, rundingan itu gagal apabila pihak tentera telah melakukan kekerasan terhadap penunjuk perasaan bermula 3 Jun di sekitar Khartoum sehingga mengorbankan berpuluh-puluh nyawa.

Lebih Ramai Yang Terkorban 

Pada kejadian yang berlaku pada 3 Jun itu, pihak tentera didakwa telah menggunakan kekerasan melampau serta gas pemedih mata untuk meleraikan para penunjuk perasaan sehingga mengakibat ramai yang terkorban.

Pihak penunjuk perasaan mendakwa seramai lebih kurang 100 orang daripada mereka telah meninggal dunia, namun pihak tentera pula mengatakan yang hanya 46 orang sahaja mangsa terbunuh.

Para penunjuk perasaan di luar ibu pejabat tentera(Foto: BBC)

Selain daripada itu, pihak berkuasan juga telah bertindak untuk mengisytiharkan perintah berkurung dengan melarang orang ramai berada di luar rumah selepas satu-satu masa pada waktu malam.

Dalam pada itu, Kesatuan Afrika, Kesatuan Eropah, UK dan Amerika Syarikat telah mengutuk sekeras-kerasnya keganasan yang berlaku dan mereka menuntut pemerintah Sudan ketika ini bagi memulangkan kuasa pemerintahan kepada rakyat.

Apa yang boleh diharapkan oleh warga Sudan ketika ini ialah pihak pemerintahan tentera dapat mencapai persetujuan untuk menghentikan krisis ini bagi menjaga keselamatan dan kesejahteraan semua pihak.

Kita sebagai individu yang sukar untuk membantu secara fizikal, diharapkan dapat sama-sama berdoa agar segala permasalahan yang berlaku di sana dan di negara-negara bergolak lain dapat diselesaikan secepat mungkin.

Sumber: Telegraph, BBC

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi