Siakap Keli

Masih Tiada Kesedaran, NGO Desak Hukuman Berat Dikenakan Kepada Individu Bela Hidupan Liar Terancam

Baru-baru ini telah tular mengenai kes seorang penyanyi wanita tempatan yang telah ditahan pihak polis atas kesalahan memelihara hidupan liar dilindungi di kediamannya di ibu negara.

Penyanyi berkenaan telah pun dihadapkan ke mahkamah dan dikenakan tuduhan menyimpan dan mengurung seekor anak beruang Matahari jantan di rumahnya tanpa permit dari pihak berkuasa.

Kejadian ini secara tidak langsung membuka mata ramai pihak mengenai kesalahan untuk memelihara atau memiliki apatah lagi menjual hidupan-hidupan liar di negara ini.

Ini kerana kebanyakan daripada mereka adalah haiwan yang dilindungi dan jumlah mereka semakin kecil dari hari demi hari. Sebagai contoh, jumlah beruang Matahari di Semenanjung Malaysia dianggarkan hanya berbaki sekitar 300 hingga 500 ekor sahaja, menurut Pusat Pemuliharaan Beruang Matahari Borneo(BSBCC).

Bercakap mengenainya, pihak BSBCC turut memberikan pandangan mereka mengenai permasalahan pemeliharaan hidupan liar dilindungi oleh orang ramai di negara ini.

Menurut mereka, selain daripada kes yang tular tempoh hari, ramai lagi individu yang secara terang-terangan memelihara hidupan liar ini di luar sana. Malah, ada di antara mereka yang tanpa rasa takut berkongsikan imej haiwan tersebut di media-media sosial.

BSBCC berkata, walaupun pemilik haiwan ini sering mendakwa mereka membela haiwan-haiwan tersebut seperti anak mereka sendiri, mereka tiada sebarang hak atau kebenaran untuk menyimpan dan memiliki haiwan berkenaan.

“Semua anak-anak haiwan itu diambil oleh pemburu secara haram selepas membunuh ibu-ibu mereka untuk mendapatkan daging, bahagian badan dan lain-lain semata-mata untuk meraih keuntungan,” menurut mereka melalui satu kiriman di laman Facebook rasmi BSBCC.

“Kedua-dua pihak(pemilik dan penjual) perlu didakwa dan dikenakan hukuman berat. Tanpa penguatkuasaan, ‘harta’ bernilai kita akan pupus dari hutan kita secara perlahan-lahan,” tambah mereka.

Menurut mereka lagi, hidupan liar di negara ini telah mengalami banyak ancaman seperti kehilangan tempat tinggal atau habitat mereka yang dimusnahkan manusia melalui pembalakan dan penebangan hutan atas alasan pembangunan.

“Pembunuhan dan pemeliharaan hidupan liar secara haram ini adalah kemuncak bagi masalah yang dihadapi mereka. Apabila mereka mula terganggu akibat pencerobohan sebegini, mereka mungkin akan mengalami kepupusan setempat, kepupusan serantau sebelum akhirnya, seluruh spesis mereka akan pupus.

Oleh itu, diharapkan pihat berkuasa akan memperketatkan lagi penguatkuasaan berkaitan hidupan liar ini agar generasi akan datang akan dapat melihat hidupan-hidupan ini dengan mata mereka sendiri kelak.

Sumber: FB Bornean Sun Bear Conservation Centre(BSBCC)

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi