Siakap Keli
Gambar : Google

Elak Minum Susu Kambing Segar Dari Sebuah Ladang Di Pulau Indah

Shah Alam : Jabatan Kesihatan Negeri Selangor mengingatkan  pengguna supaya tidak membeli dan meminum susu mentah yang tidak diproses dengan sempurna.

Pengarahnya, Datuk Dr. Khalid Ibrahim berkata peringatan itu dibuat susulan terdapat kes  pelanggaran susu kambing yang dikesan mengandungi bakteria ‘brucella’ di sebuah ladang ternakan kambing di Pulau Indah, dekat sini.

“Sampel yang diambil di ladang tersebut mendapati susu kambing itu terdapat bakteria ‘brucella’ selain melanggar Seksyen 13(1), Akta Makanan 1983.

“Insiden kejadian wabak ‘brucellosis’ membabitkan seramai lapan orang yang mengalami simptom itu akibat meminum susu kambing dari ladang tersebut baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr. Khalid berkata pengambilan susu mentah adalah berisiko terutama kepada individu yang mempunyai daya tubuh (sistem imun) yang rendah terutamanya warga emas, wanita mengandung, kanak-kanak dan bayi.

Katanya, susu mentah boleh tercemar disebabkan pencemaran atau jangkitan pada haiwan yang boleh mengakibatkan penyakit kepada manusia.

Komposisi susu itu boleh menjadikan ia sebagai media yang baik untuk pertumbuhan pelbagai bakteria berbahaya termasuk ‘brucella spp’ dan ‘mycrobacterium spp’ .

”Sekiranya membeli susu mentah, pastikan susu tersebut dimasak atau dididih sebelum diminum. Pengguna diminta meminum susu yang telah sedia dipasteur atau disteril seperti ultra heat treatment (UHT) serta membaca label bagi mengetahui suhu penyimpanan dan tarikh luput,” tambahnya.

Tambah Dr. Khalid, sekiranya pengguna mengalami tanda atau gejala yang dikaitkan dengan pengambilan susu mentah, mereka diminta segera mendapatkan rawatan di klinik berdekatan.

Beliau turut mengingatkan penjual atau pengusaha susu supaya mematuhi kehendak penjualan seperti termaktub di bawah Peraturan 51, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 iaitu tidak boleh menjual susu yang tidak diproses serta mengikuti kaedah yang ditetapkan.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.