Siakap Keli
Gambar: AsiaOne

Isu Penarikan Semula Produk Air Minuman Berbungkus Jenama Starfresh Keluaran Malaysia Dari Pasaran Singapura

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum mengenai isu penarikan balik produk air minuman berbungkus (AMB) jenama Starfresh keluaran Malaysia dari pasaran Singapura sebagaimana yang dilaporkan di laman sesawang Singapore Food Agency (SFA) bertarikh 12 Jun 2019. Laporan tersebut menyatakan pihak SFA telah mengarahkan produk AMB tersebut ditarik balik kerana dikesan tercemar dengan bakteria Pseudomonas aeruginosa. Produk AMB yang terlibat berisipadu 1500ml dan 500ml dengan tarikh akhir masing-masing pada 13 Mei 2021 dan 11 Mei 2021.

Bakteria Pseudomonas aeruginosa adalah sejenis bakteria yang terdapat secara meluas di persekitaran dan boleh ditemui di dalam air, najis, sisa kumbahan dan tanah. Bakteria ini boleh menyebabkan pelbagai jenis jangkitan penyakit kepada manusia khususnya kepada golongan yang mempunyai sistem ketahanan badan yang rendah. Namun, produk makanan yang dicemari bakteria ini jarang memberikan kesan kesihatan kepada individu yang sihat.

Hasil verifikasi oleh KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan mendapati kilang yang menghasilkan produk tersebut melaksanakan program jaminan keselamatan makanan dan mematuhi keperluan pelesenan punca air minuman yang ditetapkan oleh KKM.

KKM mengesahkan produk AMB jenama Starfresh hanya dipasarkan ke Singapura dan tidak dijual di pasaran tempatan. Walau bagaimanapun, KKM sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung punca pencemaran sepertimana yang dilaporkan sebelum tindakan lanjut diambil.

KKM ingin menegaskan produk AMB untuk jualan perlu mematuhi Peraturan 360B, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983. Di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983 telah menetapkan bahawa mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. KKM juga sentiasa menjalankan pemantauan ke atas produk-produk makanan di pasaran tempatan termasuk produk AMB. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, sila hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

14 JUN 2019

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:

Nama: BAHARUDIN BIN MOHAMAD

Pegawai Perhubungan Awam

Unit Komunikasi Korporat

Kementerian Kesihatan Malaysia

Tel : 03-88834536 dan 017-2635008

Sumber: BERNAMA

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa