Siakap Keli
Gambar Hiasan

Mufti Jelaskan Bahayanya Kesan Fitnah Serta Doa Untuk Menghindarinya

Kamus Dewan Edisi Keempat mentafrifkan fitnah sebagai tuduhan, khabar mahupun kisah yang direka (dibuat-buat) untuk tujuan memburukkan atau memberi bencana kepada seseorang. Perkataan fitnah diambil dari bahasa Arab yang bermaksud cubaan atau ujian.

Fitnah dikatakan sebagai bentuk komunikasi kepada satu pihak atau lebih untuk menerapkan stigma negatif menggunakan fakta palsu untuk menjatuhkan atau menaikkan sesuatu pihak. Dengan kecanggihan teknologi sekarang, fitnah boleh disampaikan dengan pelbagai medium terutamanya media massa seperti akhbar, berita, internet atau televisyen.

Gambar Hiasan

Justeru Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah mengeluarkan kenyataan terbaru beliau (16 Jun 2019) mengenai perkara ini. Menurut beliau:

Kami mengambil sejuzuk dari Bayan Linnas Siri Ke 182: Bahaya Fitnah yang telah dikemaskinikan untuk sama-sama kita mengamalkan doa dari fitnah dan mengawasinya.

Marilah kita sentiasa menghindari sebarang bentuk fitnah serta sentiasa menginsafi bahawa saudara-saudara kita adalah sejuzuk daripada diri kita semua. Kami tegaskan di sini yang fitnah itu adalah bersifat tidur sepertimana sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya:

“Fitnah itu bersifat tidur. Allah melaknat sesiapa yang mengejutkannya.”

Riwayat al-‘Ajluni dalam Kasyf al-Khafa’ dan al-Rafi’e dalam Amalinya (2/83). Hadis ini bertaraf dha’if tetapi makna nas boleh jadi sahih. Inilah pendapat sebahagian ulama’ hadis.

Al-Imam al-Munawi berkata: Fitnah dan tribulasi dan setiap yang menjadi masyaqqah dan kesukaran kepada seseorang, begitu juga ujian Allah kepada hamba-hamba-Nya dinamakan fitnah.

(Lihat Faidh al-Qadir, 4/461)

Begitu juga, dalam mengelakkan daripada fitnah, sewajarnya kita mendekatkan diri kepada Allah dan sentiasa munajat kepada-Nya.

Kami nyatakan di sini doa yang ma’thur daripada Nabi SAW tatkala menghadapi ujian fitnah, antaranya:

[1] Doa Rasulullah SAW seperti riwayat daripada Anas R.A:

يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Zat yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu.”

Riwayat Imam Ahmad (12107), al-Tirmizi (2140), al-Baihaqi dalam
Syu’ab al-Iman (757) dan al-Tabarani dalam al-Du’a (1261)

Gambar Hiasan
[2] Doa Rasulullah SAW seperti riwayat Ibn Abbas R.Anhuma:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ فِعْلَ الخَيْرَاتِ ، وَتَرْكَ الْمُنْكَرَاتِ ، وَحُبَّ الْمَسَاكِينِ ، وَإِذَا أَرَدْتَ بِعِبَادِكَ فِتْنَةً فَاقْبِضْنِي إِلَيْكَ غَيْرَ مَفْتُونٍ

Maksudnya: Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu perbuatan kebaikan, meninggalkan kemungkaran, kasihkan orang miskin dan Engkau ampunkan dosaku, Engkau rahmatiku dan Engkau terima taubatku. Jika Engkau menghendaki dengan hamba-hamba-Mu fitnah, maka matikanlah aku tanpa sebarang fitnah.

Riwayat al-Tirmizi (3233)

[3] Doa Rasulullah SAW seperti riwayat Abi Burdah bin Abdillah, daripada bapanya:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَجْعَلُكَ فِي نُحُورِهِمْ وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ شُرُورِهِمْ

Maksudnya: Ya Allah! Sesungguhnya kami jadikan Kamu sebagai benteng pada leher-leher mereka dan kami berlindung dengan-Mu dari kejahatan mereka.

Riwayat Abu Daud (1537)

[4] Doa Rasulullah SAW seperti riwayat Ibn Abbas R.Anhuma:

لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ الْعَظِيمُ الْحَلِيمُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ رَبُّ السَّمَوَاتِ وَرَبُّ الْأَرْضِ وَرَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيمِ

Maksudnya: Tiada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya kecuali Allah yang Maha Agung lagi Maha Lemah Lembut. Tiada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya kecuali Allah Tuhan Pemilik Arasy yang Agung. Tiada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya kecuali Allah Tuhan Pemilik langit dan pemilik bumi dan Tuhan pemilik Arasy yang mulia.

Riwayat al-Bukhari (6345) dan Muslim (2730)

[5] Doa Rasulullah SAW seperti riwayat Anas R.A:

اللَّهُمَّ أَنْتَ عَضُدِي وَأَنْتَ نَصِيرِي وَبِكَ أُقَاتِلُ

Maksudnya: Ya Allah! Engkaulah kekuatanku dan Engkaulah penolongku dan dengan-Mu aku berperang.

Riwayat al-Tirmizi (3584)

Gambar Hiasan
[6] Doa Rasulullah SAW seperti riwayat Sa’ad bin Abi Waqqas R.A:

لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ

Maksudnya: Tidak ada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya kecuali Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku dari kalangan orang-orang yang zalim.

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (1864)

[7] Doa Rasulullah SAW seperti riwayat Abu Bakrah R.A:

اللَّهُمَّ رَحْمَتَكَ أَرْجُو فَلا تَكِلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنٍ وَأَصْلِحْ لِي شَأْنِي كُلَّهُ لا إِلَهَ إِلا أَنْتَ

Maksudnya: Ya Allah, dengan rahmat-Mu aku berharap. Janganlah Engkau biarkan urusanku pada diriku sendiri walau sekelip mata dan perbaikilah seluruh urusanku. Tidak ada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya selain Engkau.

Riwayat Abu Daud (5090)

Justeru, selagimana kita menyayangi saudara kita yang merupakan sebahagian daripada kita yang wajib kita jaga hubungannya, maka Allah SWT akan menyayangi kita dan merahmati kita, serta meredhainya.

Semoga Allah menyayangi diri kita semua dan menempatkan diri kita semua di syurga-Nya. Kami akhiri artikel kali ini dengan doa:

رَبَّنَا لَا تَجْعَلْنَا فِتْنَةً لِّلْقَوْمِ الظَّالِمِينَ وَنَجِّنَا بِرَحْمَتِكَ مِنَ الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami landasan fitnah kesengsaraan bagi kaum yang zalim ganas. Dan selamatkanlah kami dengan rahmat-Mu dari angkara kaum yang kafir.

[Surah Yunus: 85-86]

Sumber : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.