Siakap Keli

Orang Asli Kuala Koh Disahkan Dijangkiti Demam Campak – Dr Dzulkefly

Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan kematian 12 orang Asli di Kuala Koh Gua Musang, Kelantan. Daripada kejadian wabak penyakit tersebut jumlah kematian meningkat kepada 14 orang.

Terkini, orang Asli di Kuala Koh, Gua Musang, disahkan dijangkiti wabak measles atau demam campak. Setakat 15 Jun 2019, 37 kes disahkan demam campak selepas dilakukan ujian makmal, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzukefely Ahmad.

Antara faktor utama wabak measles merebak di perkampungan itu ialah liputan imunisasi MMR yang sangat rendah iaitu 61.5% bagi dos pertama dan 30% bagi suntikan dos kedua.

“Kekurangan zat makanan juga menyumbang kepada risiko jangkitan dan kejadian komplikasi, ” kata Dr Dzulkefly.

Setakat 15 Jun lalu, seramai 170 daripada 185 atau 92% penduduk Orang Asli Kuala Koh telah diperiksa status kesihatan mereka.

Daripada jumlah itu, 112 kes dilaporkan kepada KKM termasuk tiga kematian (terbaharu seorang kanak-kanak berumur 2 tahun 6 bulan yang meninggal dunia pada petang Ahad di HRPZII kerana severe malnutrition atau kekurangan zat makanan).

KKM terus menjalankan tindakan pencegahan dan kawalan wabak

1. Carian kes secara aktif di perkampungan orang asli dan sekitarnya berdasarkan pergerakan mereka sebelum ini
2. Memberi Vitamin A kepada kanak-kanak yang dirawat kerana measles
3. Meningkatkan liputan imunisasi kepada penduduk orang asli yang terlibat
4. Pendidikan kesihatan terutama penjagaan kebersihan diri
5. Mempertingkatkan Infection Prevention Control (IPC) di fasiliti kesihatan dan sentiasa amalkan penggunaan alat perlindungan diri.

Dr Dzulkefly berkata, semua JKN diarahkan meningkatkan survelan jangkitan measles dan meningkatkan liputan imunisasi kepada orang asli di negeri masing-masing.

“JKN perlu melaporkan segera kepada CPRC kebangsaan jika terdapat gejala atau kematian yang mempunyai gejala yang sama,” katanya.

PDRM juga terus pantau perkampungan Kuala Koh untuk memastikan tiada pihak luar yang tidak berkenaan memasuki kawasan itu bagi mengelak penularan jangkitan, katanya lagi.

 

Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia 

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang