Siakap Keli

Polis Tahan Lelaki Disyaki Curi Tabung Masjid

IPOH – Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai mencuri wang tabung di Masjid Gufran, Kampung Manjoi di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Mohd Ali Tamby berkata lelaki tempatan berusia 28 tahun itu ditahan pasukan polis dari cawangan Bahagian Risikan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di hadapan sebuah restoran di Jalan Labrooy kira-kira pukul 1.30 tengah hari.

“Kami menerima laporan mengenai kejadian itu yang berlaku pada Sabtu lepas. Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek masuk ke masjid tersebut dan mengumpil dua tabung sebelum melarikannya.

“Satu tabung diletakkan oleh Bahagian Amal Kebajikan Islam Perak (BAKIP), sebuah lagi tabung ditempatkan di ruang solat muslimah dan pihak masjid memaklumkan kerugian dianggar RM500,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Ali berkata siasatan awal mendapati suspek yang beralamat di Jalan Kampung Manjoi Lama pernah dilihat mengunjungi masjid itu pada Ramadan lalu.

Katanya pemeriksaan lanjut mendapati lelaki itu mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah, dan suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri tabung masjid.

Sumber : BERNAMA

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.