Siakap Keli
fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

UiTM Lantik Dua Pelajar Sebagai Ahli Senat Universiti

SHAH ALAM, 17 Jun (Bernama) — Universiti Teknologi Mara (UiTM) buat julung kali sejak ditubuhkan lebih lima dekad lepas, melantik dua pelajarnya sebagai ahli senat universiti berkuatkuasa 1 Julai ini.

Dua pelajar berkenaan adalah Bendahari Kehormat Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Shah Alam, Nurul Fatiha Norsip dan Penolong Naib Yang Dipertua Jabatan Perhubungan & Pengantarabangsaan MPP UiTM Shah Alam, Muhamad Afiq Hariz Khatem.

Pelantikan kedua-dua pelajar tersebut dibuat Naib Canselor UiTM, Prof Ir Dr Mohd Azraai Kassim menggunakan kuasanya berdasarkan Seksyen 16A(5) Akta UiTM 1976 (Akta 173).

Mohd Azraai berkata pelantikan itu adalah sejajar dengan seruan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik untuk memperkasakan keupayaan dan keterangkuman pelajar dalam proses pengurusan universiti.

“Ini adalah kali yang pertama kita melantik pelajar sebagai ahli senat universiti, dan UiTM merupakan universiti awam ketiga menyambut seruan ini selepas Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

“UiTM kini mempunyai 72 ahli senat termasuk dua pelajar berkenaan. Saya berharap mereka dapat memberikan komitmen dan sumbangan idea terhadap perkembangan universiti serta membawa UiTM ke tahap yang gemilang, dalam usaha untuk memperkasakan pengajian tinggi di Malaysia,” katanya dalam sidang media sempena pelantikan kedua-dua pelajar itu di sini, hari ini.

Tambahnya, kedua-dua pelajar itu akan menjadi ahli senat UiTM sehingga ke tarikh akhir mereka memegang jawatan sebagai MPP.

Sementara itu, Nurul Fatiha, 25, yang juga pelajar semester tiga Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang berkata, beliau amat terharu dengan kepercayaan pihak pentadbiran universiti dan bertekad membawa serta menyuarakan sebarang permasalahan warga pelajar dalam mesyuarat senat UiTM kelak.

“Mewakili pelajar sebagai seorang ahli senat sudah cukup bermakna buat saya, untuk membawa perubahan dan kami (dirinya dan Muhamad Afiq) akan cuba berjuang untuk menyuarakan hak pelajar,” katanya.

Bagi Muhamad Afiq Harez, 23, pelajar semester empat Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, beliau membawa misi untuk meningkatkan kualiti silibus agar pembelajaran pelajar dapat mengikut trend perubahan semasa.

“Saya yakin dengan jawatan yang diberikan ini, ia tidak akan menggangu waktu pembelajaran saya dan tugasan yang diberikan pensyarah, serta saya akan berusaha mengimbangkan masa dengan tanggungjawab sebagai ahli senat.”

Sumber: BERNAMA

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi