Siakap Keli
Gambar: ElotiTV.com, Daily Mail

(Video) Seorang Ahli Silap Mata India Hilang Ketika Melakukan Aksi Lagak Ngeri Di Sungai Ganges, Dikhuatiri Lemas

Seorang ahli silap mata yang berasal daripada India telah dilaporkan hilang selepas melakukan aksi lagak ngeri menenggelamkan dirinya di Sungai Ganges sambil diikat dengan rantai besi dan tali.

Chanchal Lahiri, yang turut dikenali dengan nama pentasnya ‘Jadugar Mandrake’ (Wizard Mandrake), telah diturunkan di sungai tersebut menggunakan kren sambil disaksikan oleh beberapa ahli keluarganya, pihak media serta polis semasa cubaan melakukan aksi tersebut.

Gambar: Daily Star

Sebelum aksi tersebut dilakukan dia telah menyatakan bahawa: ‘Ianya akan menjadi magik jika saya dapat melepaskan diri saya, namun jika saya tidak berjaya melakukan aksi ini, ianya akan menjadi tragik.’

Beberapa minit selepas dia melakukan aksi merbahaya tersebut, dia didapati gagal kembali ke permukaan.

Disebabkan oleh yang demikian, pihak berkuasa telah melancarkan operasi pencarian bagi mencari ahli silap mata tersebut yang dikhuatiri lemas kerana tidak berjaya melepaskan diri daripada aksi yang dilakukannya.

‘Kami masih lagi mencarinya,’ ujar salah seorang daripada ahli keluarganya.

Terdahulu, Lahiri menyatakan bahawa dia telah berjaya melakukan aksi yang sama pada 21 tahun yang lalu di lokasi yang sama.

‘Saya telah diletakkan di dalam sebuah kotak kaca kalis peluru sambil diikat dan dikunci lalu diturunkan ke sungai Ganges daripada jambatan Howrah. Saya berjaya melepaskan diri saya 29 saat kemudian,’ ujarnya.

Beliau mengakui bahawa, aksi yang dilakukan ini mempunyai tahap kesukaran yang lebih tinggi berbanding dengan aksi yang pernah dilakukannya sebelum ini.

Ketika Lahiri melakukan aksi yang sama pada tahun 2013, dia telah diserang oleh penonton yang mendakwa bahawa telah ternampak sebuah pintu rahsia yang digunakannya bagi melepaskan dirinya.

Dia mendakwa bahawa dia akan ditenggelamkan sehingga 30 kaki ke dalam sungai tersebut sambil dikurung di dalam sebuah sangkar besi.

Walaupun dia telah timbul ke permukaan dalam masa hanya enam saat, ribuan penonton yang menyaksikannya telah mendakwa bahawa mereka tahu helah yang dilakukan oleh Lahiri.

Susulan daripada itu, Lahiri telah dikerumuni oleh penonton yang tidak berpuas hati kerana mengetahui helah yang diguna pakai oleh Lahiri.

Sumber: Daily Mail

Aqmal Ezany

I write what is right