Siakap Keli
Gambar : PM News

Kematian Morsi: Malaysia Tunggu Laporan Teliti Daripada Mesir – TPM

KUALA LUMPUR – Malaysia akan menunggu laporan teliti daripada Mesir mengenai punca kematian bekas presiden negara itu Mohamed Morsi, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata menegaskan bahawa Malaysia menerima kenyataan Pendakwa Raya Mesir, bagaimanpun bimbang dengan pelbagai laporan mengenai layanan yang diterima Morsi sebelum kematiannya.

“Kami seikhlasnya berharap bekas Presiden Morsi diberikan upacara pengebumian yang sewajarnya.

“Morsi adalah presiden pertama Mesir yang dipilih secara demokrasi selepas revolusi ‘Arab Spring’ pada 2011, yang penggal pemerintahannya berakhir secara tiba-tiba selepas 12 bulan,” kata Dr Wan Azizah menerusi Tweet hari ini.

Dr Wan Azizah turut mengambil maklum bahawa semasa pemerintahannya sebagai Presiden, Morsi telah menunjukkan keberanian dan ketabahan moral dalam cubaannya hendak membawa Mesir keluar daripada pemerintahan kuku besi yang telah berlangsung selama beberapa dekad dan mewujudkan demokrasi sebenar di sana.

Beliau juga berkata kematian Morsi merupakan satu kehilangan besar.

Morsi, 67, meninggal dunia pada Isnin ketika menghadapi perbicaraan atas tuduhan “mengintip” dan beliau telah meminta untuk bercakap sebelum rebah pengsan dan meninggal dunia kemudian.

Media asing melaporkan Ikhwan Al Muslimin mendakwa kematian beliau adalah “satu pembunuhan”.

Pendakwa Raya Mesir Nabil Sadek dalam kenyataannya berkata Morsi telah meninggal dunia setibanya di hospital dan tiada kesan kecederaan pada tubuhnya.

Morsi menghadapi beberapa pertuduhan sejak beliau disingkirkan dan dipenjarakan ekoran rampasan kuasa tentera pada 2013 yang dipimpin presiden sekarang Abdel-Fattah al-Sisi.

Sumber :  BERNAMA

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.