Siakap Keli
Gambar: FB Dr Mujahid Rawa, KUMPULAN MEDIA KARANGKRAF

Morsi Mangsa Kepada Daulah Terpendam – Dr Mujahid Yusof Rawa

Pemergian bekas Presiden Mesir yang dilantik secara demokrasi pada semalam telah mengejutkan dunia. Dr Mohamed Morsi yang telah meninggal ketika perbicaraan sedang berlangsung semalam telah membuatkan ramai orang sedih.

Dr Mohamed Morsi berjaya memenangi pilihan raya Presiden Mesir pada tahun 2012 dengan berjaya mengalahkan pesaingnya Ahmed Shafiq yang turut berkempen bagi memenangi kerusi itu.

Pemergian salah seorang pemimpin Islam yang berkaliber serta hebat dikalangan umat Islam di seluruh dunia ini telah mendapat pelbagai reaksi yang sedih.

Pemimpin-pemimpin Islam di seluruh dunia turut bersedih dan memuat naik mesej-mesej yang mengucapkan salam takziah kepada Allahyarham serta ahli keluarganya.

Pemimpin-pemimpin di Malaysia juga turut tidak ketinggalan mengucapkan salam takziah kepadanya. Antaranya ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Seri Dr. Mujahid Yusuf Rawa. Ikuti kenyataan media belasungkawa yang dikongsi oleh Datuk Seri Dr. Mujahid Yusuf Rawa menerusi akaun Facebooknya:

KENYATAAN MEDIA BELASUNGKAWA KEPADA KELUARGA MORSI DAN RAKYAT MESIR

Masyarakat dunia terkejut dengan berita kematian Presiden Mesir yang dilantik secara demokrasi, Dr Mohamed Morsi. Selain terkejut, dunia juga bersedih dengan kematian Morsi yang masih dalam tahanan dan mati ketika perbicaraan sedang berlangsung.

Kematiannya merupakan suatu perkara yang amat menyedihkan bagi mereka yang percaya bahawa ruang terbaik untuk ke persada kuasa ialah melalui proses demokrasi dan proses itulah yang menjadi pilihan rakyat.

Morsi telah ditahan dan dibicarakan sejak 2013 selepas digulingkan oleh tentera Mesir. Beliau juga tidak diberi akses kepada peguam mahupun doktor untuk merawat kesakitannya semasa di dalam tahanan.

Morsi mangsa kepada daulah terpendam (deep state) ketika beliau menjadi Presiden pada 2012. Beliau mangsa daulah terpendam yang bekerja bukan untuk memulihkan sokongan rakyat sebaliknya bekerja untuk merampas hak rakyat yang melantik Morsi. Sepanjang setahun pemerintahan Morsi, daulah terpendam ini melakukan pelbagai operasi sabotaj seperti menyekat bekalan makanan dan keperluan asas lantas menyebabkan kemarahan rakyat yang menuduh Morsi gagal memenuhi perkara asas mereka.

Daulah terpendam juga beroperasi dengan menimbulkan pelbagai teori konspirasi yang menjadikan Ikhwanul Muslimin sebagai sasarannya. Ini termasuk mereka berhubung dengan negara-negara luar untuk memburukkan kepimpinan Morsi yang dipilih secara demokratik. Morsi adalah lambang pengorbanan kepada kehendak rakyat dan mangsa daulah terpendam. Ia sekaligus memahamkan kita bahawa perubahan secara demokratik akan melalui cabaran yang besar khususnya daripada kalangan penggerak daulah terpendam.

Takziah daripada saya untuk seluruh ahli keluarga Morsi dan juga kepada seluruh rakyat Mesir yang telah memilih Morsi secara demokratik.

Sumber: FB Dr Mujahid Yusof Rawa

Aqmal Ezany

I write what is right