Siakap Keli
Gambar: Air Times News Network

Pengusaha Kapal Nelayan Perlu Utamakan Keselamatan Pekerja – PNK Lahad Datu

LAHAD DATU, 19 Jun (Bernama) — Pengusaha kapal nelayan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) perlu mengutamakan keselamatan pekerja dan memastikan bot mereka dilengkapi sistem komunikasi yang berfungsi terutama sistem pengesanan automatik (AIS).

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Lahad Datu Eskin Barahim berkata selain itu, mereka perlu mematuhi undang-undang perintah berkurung di kawasan itu.

“Kalau jalan malam lebih daripada tiga batu nautika, ambil permit kebenaran dan maklumkan kepada pasukan keselamatan lokasi terkini mereka berada, kalau tiada permit, tiada makluman ertinya itu sembunyi-sembunyi.

“Keselamatan pekerja (kru kapal) patut menjadi keutamaan, jangan ambil keuntungan saja, kalau ambil keuntungan itulah akibatnya,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Awal pagi semalam, 10 daripada 16 nelayan Bajau Laut diculik oleh kumpulan bersenjata berkaitan Abu Sayyaf di perairan Felda Sahabat dekat sini. Enam lagi nelayan terselamat.

Eskin berkata jika kapal nelayan dari Semporna atau Kunak masuk ke perairan Lahad Datu untuk menangkap ikan misalnya di perairan Tambisan, mereka boleh memaklumkan keberadaan kapal dengan Pasukan Polis Marin atau Pasukan Gerakan Am yang ditempatkan di kawasan itu.

“Ini disebabkan perairan Tambisan ini berdekatan dengan sempadan perairan Filipina ada risiko jenayah rentas sempadan, kalau tidak pun maklumkan kepada PNK.

“Sehingga kini, kawasan di bawah tiga batu nautika adalah selamat dan insiden penculikan hanya berlaku di kawasan atas tiga batu nautika, sebab itu perlu ada makluman,” katanya.

Sumber: BERNAMA

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa