Siakap Keli

4,000 Lagi Pekerja Asing Dijangka Terkorban Siapkan Stadium Menjelang Piala Dunia FIFA 2022

Menjelang tahun 2022, Qatar akan menjadi tuan rumah bagi kejohanan bola sepak paling berprestij di dunia iaitu Piala Dunia FIFA 2022. Ekoran itu, Qatar sedang giat membuat persiapan bagi menghadapi kejohanan ini dan salah satunya ialah pembinaan stadium. Namun begitu, disebalik pembinaan stadium tersebut terdapat rintihan-rintihan buruh kasar yang telah terperangkap.

Menurut sebuah dokumentari TV yang dibuat oleh Jerman WDR, sekurang-kurangnya 1,400 pekerja asing dari Nepal telah meninggal dunia ketika proses pembinaan stadium bola sepak untuk Piala Dunia FIFA 2022.

Antara punca kematian yang dilaporkan adalah kemalangan di tapak pembinaan dan juga keadaan hidup yang sengsara di negara tersebut. Kesannya, pembinaan stadium tersebut menyebabkan kira-kira 110 buruh meninggal dunia pada setiap tahun.

Lebih parah, sekurang-kurangnya 4,000 lagi buruh kasar dianggarkan akan meninggal dunia menjelang 2022 iaitu tahun kejohanan berprestij itu dimulakan di Qatar. Jumlah besar ini adalah berdasarkan kepada data kematian daripada kedutaan-kedutaan India dan Nepal selama tiga tahun terakhir dan mengambil kira terhadap 500,000 pekerja tambahan yang akan digunakan pada tahun-tahun menjelang Piala Dunia FIFA 2022.

Berdasarkan dokumentari tersebut, dua orang buruh yang terlibat dalam pembinaan stadium tersebut menceritakan serba sedikit pengalaman mereka menjadi ‘hamba’ kepada pembinaan tersebut.

“Setiap hari kami hanya makan roti dan minum air, tanpa wang kami tidak boleh berbuat apa-apa. Dari sebulan ke bulan seterusnya, keadaan menjadi lebih parah. Saya tidak mampu lagi, saya cuma ingin pulang ke rumah”

Setelah beberapa bulan gaji tidak dibayar, majikan menyuruh kami untuk bersabar. Pada permulaannya, kami hanya menuruti dan terus bekerja. Tapi selepas empat bulan ketiadaan gaji, kami berhenti bekerja dan meminta gaji untuk dibayar. Tetapi majikan menolaknya dan menyuruh untuk mencari pekerjaan lain.

Perkara ini menjadi lebih sukar kepada mereka apabila pasport mereka masih dipegang oleh majikan tersebut. Keperihan hidup yang dihadapi oleh mereka telah dibawa ke mahkamah, namun tiada perubahan yang berlaku.

Menurut laporan oleh Konvensyen Kesatuan Sekerja Antarabangsa (ITUC) pada 2014, purata kira-kira 20 buruh dari India meninggal dunia dalam sebulan pada 2013 dan meningkat kepada 27 orang pada bulan Ogos, iaitu bulan terpanas. Bagi pekerja Nepal pula, kira-kira 119 orang telah meninggal dunia pada 2013 berbanding 169 orang pada 2012.

Sumber: Egypt Today, Benjamin Best Productions

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa