Siakap Keli

“Gerun Bila Ada Yang Target Berat 38Kg,” Trend Terlebih Kurus, Doktor Dedah Bahaya

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Tular trend terbaru yang dikatakan menjadi ikutan masyarakat iaitu mendapatkan berat badan di bawah paras normal. Lebih mudah, adalah menjadi ‘terlebih’ kurus daripada berat ideal sedia ada.

Bimbang perkara tersebut menjadi ikutan lebih ramai, Dr Rusyainie Ramli tampil membuat pendedahan mengenai bahaya yang menanti bagi mereka yang kekurangan berat badan.

Ujarnya, bukan sahaja tubuh mengalami kekurangan nutrisi malah membawa kepada kemudaratan hingga membahayakan kesihatan. Untuk mengetahui lebih lanjut, ikuti perkongsian oleh Dr Rusyainie seperti di bawah.

Sekarang ada trend pula nak jadi terlebih kurus.

Siap ditayang-tayang dalam media sosial. Kata mereka kurus yang sihat. Tapi tulah, saya tengok dalam pinggan mereka yang mereka kongsikan tu, memang tak cukup dari segi keperluan nutrisi.

Untuk orang Asia, BMI kurang 18.5 tu dah dikira sebagai underweight. Untuk doktor yang melihat pesakit terlalu kurus, di belakang minda saya mesti terfikirkan tentang anorexia nervosa, satu diagnosis eating disorder.

Dalam pinggan sihat KKM, karbohidrat mesti 1/4 dari hidangan. Tak boleh tak ambil karbohidrat sebab ia adalah sumber tenaga segera yang diperlukan oleh badan untuk ia berfungsi.

Sayur dan buah pun tak ada dalam pinggan. Mana nak dapat serat, vitamin, garam mineral dan phytonutrients, kalau tak makan sayur dan buah mengikut saranan KKM. Diet yang dicadangkan KKM tu adalah hasil kajian saintifik bertaraf tinggi ya.

Pengambilan kalori yang kurang dari Basal Metabolic Rate boleh menyebabkan badan berfungsi dalam keadaan starvation mode. Bila jadi macam ni, metabolisma asas badan menjadi terlalu perlahan sebab ia cuba untuk simpan sebanyak mungkin kalori yang tinggal tu. Akibatnya? 

1. Tekanan darah menjadi terlalu rendah dan kadar nadi menjadi sangat perlahan.
2. Denyutan jantung menjadi tak normal.
3. Ketidakseimbangan elektrolit dalam badan.
4. Risiko untuk mendapat batu hempedu.
5. Rambut gugur.
6. Kuku mudah patah.
7. Haid tak menentu dan selalunya tak datang terus.
8. Sukar untuk hamil.
9. Kurang darah merah atau anaemia disebabkan tak cukup nutrisi.
10. Tulang rapuh atau osteoporosis.
11. Pening kepala.
12. Sukar untuk menumpukan perhatian.
13. Kemurungan.

Saya harap sangat mereka yang obses untuk kurus ni dapat berjumpa doktor untuk nasihat yang betul. Jangan lah sampai memudharatkan diri. Gerun betul bila tengok ada yang target berat badan 38kg. Saya harap dia punya ketinggian hanya 140cm saja. Kalau dia tinggi dari tu, berat 38kg adalah terlalu kurus.

Gambar saya pinjam dari Google.

Sumber : Dr Rusyainie Ramli

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.