Siakap Keli

MAIK Agih Hampir RM32.5 Juta Bantu Golongan Asnaf Suku Pertama Tahun Ini

KOTA BHARU, 20 Jun (Bernama) — Sehingga suku pertama 2019, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah mengagihkan sebanyak RM32.5 juta kepada enam golongan asnaf di negeri ini.

Timbalan Yang Dipertua MAIK Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi berkata, agihan berkenaan bagi tempoh bermula Januari sehingga Mac lepas melalui 21 program agihan.

“Antara program agihan yang telah dianjurkan ialah bantuan bulanan fakir miskin, bantuan pembangunan ekonomi, bantuan am, rawatan perubatan, persekolahan, bantuan rumah kediaman, biasiswa kecil pelajar Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan sebagainya,” katanya.

Nik Mohd Azlan berkata agihan berkenaan termasuk bantuan golongan fakir dan miskin sebanyak RM23.9 juta telah diagihkan, manakala golongan amil sebanyak RM3,287.50, RM87,766 (mualaf), RM63,707.00 (Riqob dan Gharimin), RM900 (Ibnu Sabil), dan golongan Fi Sabilillah hampir RM9 juta.

“MAIK juga telah mengambil satu inisiatif dan langkah proaktif dengan melantik kira-kira 50 sukarelawan MAIK bagi bertindak sebagai ‘mata dan telinga’ MAIK di setiap jajahan dan mukim dengan cara ‘turun padang’ bagi memastikan tiada lagi golongan asnaf yang tercicir,” katanya.

Beliau berkata, dalam aspek pendidikan, MAIK telah membelanjakan RM 37 juta kepada 28,141 asnaf termasuk bantuan persekolahan, bantuan melanjutkan pelajaran ke institusi pendidikan tinggi (IPT), bantuan pelajar pondok dan sebagainya.

Ziarah ke perkampungan orang asli pada April lepas. (Gambar: MAIK)

Katanya, MAIK juga mengalu-alukan kerjasama daripada semua pihak termasuk agensi kerajaan, swasta dan juga orang ramai supaya dapat menyalurkan maklumat berkenaan asnaf bagi membolehkan MAIK memberi bantuan yang sewajarnya.

“Peruntukan yang dibelanjakan bagi tujuan pendidikan adalah mewakili 20.3 peratus daripada jumlah kutipan zakat sebagai keutamaan pihak kami kepada bidang ini kerana menyedari bahawa melalui pendidikan, kemiskinan dapat diuruskan dan dikurangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Jalinan Ukhwah Aidilfitri Bersama MAIK 2019 di Dewan Besar Kompleks Islam Darul Naim, Lundang di sini, hari ini.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.