Siakap Keli
Gambar Hiasan(Foto: RAC/BuzzNick)

(Video)Cara Polis Ini Alihkan Perhatian Kanak-Kanak Kehilangan Ayah Dalam Kemalangan Dipuji Netizen

Jalan raya boleh dikatakan antara tempat yang paling ‘membunuh’ di seluruh dunia. Cukup di Malaysia sahaja, setiap hari pasti ada mangsa yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Itu tidak kira pada musim perayaan lagi, kadar kematian pasti akan meningkat mendadak.

Hakikatnya, banyak langkah yang boleh diambil oleh pemandu dan penumpang untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku. Antara yang paling penting tapi sering diabaikan ialah memakai tali pinggang keledar.

Itulah yang terjadi pada sebuah keluarga malang dari Illinios beberapa tahun apabila kereta yang dinaiki enam sekeluarga itu terbalik dan berpusing beberapa kali dalam satu kemalangan di Colorado.

Walaupun kisah ini sudah berlaku beberapa tahun yang lalu, ia kembali menjadi tular akibat daripada lambakan insiden kemalangan jalan raya yang berlaku sejak kebelakangan ini.

Menurut pihak polis, lima daripada mereka tidak memakai tali pinggang keledar semasa kejadian dan telah tercampak keluar daripada kereta. Kejadian menyebabkan bapa mereka maut, manakala yang lain cedera.

Satu-satunya mangsa yang tidak tercampak keluar ialah seorang kanak-kanak perempuan berusia dalam lingkungan dua tahun yang sedang duduk dalam kerusi bayi.

Foto: BuzzNick

Sejurus tiba di tempat kejadian, seorang pegawai polis yang dikenali sebagai Struck terus mengambil kanak-kanak tersebut dan mengalihkan perhatian beliau daripada mayat bapanya.

Beliau dikatakan telah menyanyikan lagu ‘Twinkle Little Star’ kepada gadis kecil itu, bagi menenangkannya yang baru kehilangan bapa. Tindakan itu jelas membuatkan netizen terharu dan berterima kasih kepadanya.

Foto: BuzzNick
Foto: BuzzNick
Foto: BuzzNick

“Itu yang perlu dilakukan, kanak-kanak hanya perlukan perhatian. Jika dia adalah anak saya, saya mahu orang lain lakukan perkara sama kepadanya,”kata Struck.

“Saya juga mempunyai anak perempuan yang berusia dua tahun sama sepertinya, jadi saya tahu apa yang perlu dilakukan,” tambah beliau.

Nampaknya, tujuan asal untuk mengingatkan orang lain tentang kepentingan memakai tali pinggang keledar kurang tercapai apabila aksi polis itu pula yang menjadi perhatian ramai.

Tapi tak mengapalah, mana yang baik kita ambil sebagai pengajaran, baik peringatan tentang pemakaian tali pinggang keledar mahupun tindakan anggota polis menenangkan kanak-kanak yang baru kehilangan bapa berkenaan.

[youtube https://www.youtube.com/watch?v=z6KYhjwFjuY]

Sumber: BuzzNick

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi