Siakap Keli
Khmer Times

(Video) “Mereka (Hantu) Sudah Ibarat Jiran Kami,” Kejiranan Atas Kubur Akibat Kemiskinan

Di dunia ini, terdapat pelbagai perkara yang kadangkala tidak terjangkau akal fikiran kita. Siapa sangka, rupa-rupanya ada golongan yang memilih untuk tinggal di kawasan perkuburan akibat kemiskinan yang melanda.

Di Kemboja, sebanyak 14 peratus rakyatnya tinggal di bawah paras miskin dan tercicir daripada kepesatan pembangunan ekonomi negara tersebut. Mereka terpaksa hidup dalam kesempitan dan tercicir dari perkembangan pesat negara tersebut.

Di Smor San, sebanyak 130 buah keluarga mengambil keputusan untuk membuat perkampungan di atas perkuburan di situ atas sebab kemiskinan yang dialami.

AFP

“Mereka (hantu) sudah menjadi jiran kami. Mereka juga tak ganggu kami,” kata salah seorang wanita separuh abad yang ditemubual oleh wartawan AFP.

Sementara itu, seorang lelaki seusia dengannya juga turut menyuarakan keinginannya untuk menghabiskan sisa hidupnya di situ jika tiada perubahan berlaku.

“Jika tiada perubahan, saya ingin terus hidup di sini sepanjang hidup saya. Bagi kami semua, tempat ini selamat untuk dijadikan tempat tinggal. Tambahan pula, ia dekat dengan pasar,” katanya.

Rata-rata penduduk di situ berpendapat bahawa kawasan perkuburan merupakan pilihan terbaik bagi mereka kerana kawasan penempatan murah telah hilang akibat kemajuan yang pesat.

AFP
Seorang penduduk memasak di atas sebuah kubur. (Gambar: AFP)

Tidak mahu berpindah

Menurut laporan Khmer Times, komuniti tersebut menolak pelawaan majlis perbandaran untuk berpindah ke tempat lain kerana telah selesa tinggal di lokasi tersebut.

Merujuk kepada program penempatan semula majlis perbandaran di sana, seorang penduduk, Toek Channa, 45 berkata keluarganya seramai 7 orang tidak mampu tinggal di dalam rumah yang kecil, terutamanya rumah tersebut tidak mempunyai halaman.

“Saya pernah pergi ke sana. Rumahnya kecil dan dibina dengan bumbung zink, membuatkannya kelihatan seperti rumah yang disewa. Kami tak boleh terima ini,” katanya.

“Lagipun kami sudah terbiasa tinggal di sini dan kami sudah mempunyai kerja di sini. Jika berpindah ke tempat baru, kami memerlukan masa untuk memulakan hidup baru,” tambahnya lagi.

Khmer Times
AFP
Khmer Times

Sumber: AFP News, Khmer Times

Amira

Love yourself.