Siakap Keli
Foto: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

(Video)Kapal Penguatkuasa Indonesia Ceroboh, Rempuh Dan Tahan Bot Nelayan Tempatan Di Laut Malaysia- APMM

LUMUT, 21 JUN 2019 – Maritim Malaysia Negeri Perak menerima aduan sebuah kapal Pengawas Perikanan Indonesia merempuh dan menahan sebuah bot nelayan Malaysia di posisi 37.4 batu nautika tenggara Pulau Jarak, Malaysia iaitu 7 batu nautika dari garisan sempadan, pagi tadi.

Kapten Maritim Wan Mat bin Wan Abdullah Pengarah Maritim Negeri Perak menjelaskan, pada kira-kira jam 8.30 pagi tadi, sebuah kapal penguatkuasa Indonesia dilaporkan telah bertindak ganas dengan merempuh bot nelayan tempatan (BNT) PKFB 1802 hingga menyebabkan dua krunya cedera dan rumah kemudi bot rosak.

Bot Penggalang bersama sebuah pesawat udara Maritim Malaysia telah dikejarkan ke lokasi kejadian dan menemui BNT yang ditahan sedang ditarik oleh KP Orca 02 di lokasi 35.6 batu nautika tenggara Pulau Jarak, Malaysia iaitu 5 batu nautika dari garisan sempadan pada kira-kira 8.50 pagi.

Foto: FB Panggilan Pertiwi

Kata beliau, Bot Penggalang telah merapat KP Orca 02 dan seterusnya tiga anggota penguatkuasa Maritim Malaysia menaiki KP Orca 02 pada jam
10.15 pagi bagi melakukan rundingan untuk melepaskan BNT yang sedang ditahan namun pihak berkuasa tersebut enggan melepaskan BNT yang sedang ditahan dalam perairan negara kita.

Menurutnya lagi, sepanjang rundingan itu, kru KP Orca 02 menyatakan bahawa mereka tidak selesa berada dalam perairan Malaysia, oleh itu mereka akan menarik BNT ke sempadan sehingga rundingan selesai.

Sehingga jam 11.30 tadi, Bot Penggalang memaklumkan bahawa mereka terpaksa mengiringi kapal Orca 02 yang enggan melepaskan BNT sehingga ke garisan sempadan Malaysia – Indonesia.

“Kami merasa amat kesal atas kejadian yang berlaku ini dan tidak menyangka bahawa badan penguat kuasa negara jiran itu bertindak jauh melampaui undang-undang negara ini dan antarabangsa serta tidak menghiraukan keselamatan dan nyawa para nelayan,” tambahnya lagi.

Sumber: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi