Siakap Keli
Gambar Hiasan

Sembilan Nelayan Lahad Datu Dibebaskan Penculik Di Selatan Filipina

Minggu ini kita dikejutkan dengan insiden penculikan 10 orang nelayan di perairan Tambisan dalam perjalanan ke Semporna. Insiden tersebut dikatakan berlaku pada jam 2.45 pagi selasa lalu dan kesemua mangsa yang diculik adalah lelaki.

Terbaru, sembilan daripada 10 mangsa culik di perairan Tambisan Lahad Datu pada Selasa lepas telah dibebaskan oleh penculik dan kini berada dalam kawalan pihak keselamatan di selatan Filipina.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah ketika dihubungi Bernama hari ini mengesahkan perkara berkenaan dan perbincangan lanjut bersama pihak berkuasa Filipina sedang dijalankan kerana mangsa yang diculik tidak mempunyai dokumen.

“Perbincangan akan dijalankan sebelum keputusan (sama ada mereka dibawa kembali ke Sabah) dibuat kerana mereka (mangsa) tidak mempunyai dokumen.

“Pihak berkuasa Filipina terjumpa dengan mangsa di tepi jalan di sebuah pekan di pulau selatan Filipina  pada 10 malam semalam kerana mereka berjalan dalam kumpulan setelah dibebaskan penculik yang mendapat tahu mereka (mangsa) tidak mempunyai duit untuk membayar (tebusan),” katanya.

Omar berkata nasib seorang mangsa lagi masih belum diketahui.

Mengulas laporan akhbar tempatan yang menyatakan bahawa mangsa yang diculik bukan Bajau Laut, Pesuruhjaya Polis Sabah berkata pihaknya akan menjalankan siasatan mengenai perkara itu.

Sementara itu, di Semporna, isteri kepada seorang daripada mangsa culik, Hamidah Lallah, 22, berkata dia menerima maklumat berkenaan daripada abang iparnya yang datang ke kediamannya pagi tadi.

“Abang ipar saya terima panggilan berhubung pembebasan itu, pada 11 pagi tadi. Mungkin mereka sekarang dengan tentera (Filipina) di sana,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Hamidah berkata tidak dapat memastikan sama ada sembilan mangsa yang dibebaskan itu termasuk suaminya, iaitu Abdul Nasir Nuli (Inai).

Sehingga kini, beliau belum lagi dihubungi polis berhubung perkara itu.

Pada 18 Jun lepas, seramai 10 daripada 16 kru dua bot nelayan di perairan Tambisan Lahad Datu dilaporkan diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata ketika mereka mahu menuju ke Semporna. Dalam kejadian 2 pagi itu, 10 nelayan berkenaan dilarikan ke selatan Filipina manakala enam nelayan lagi terselamat.

Sumber : BERNAMA

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.