Siakap Keli
Gambar Hiasan

Huawei Saman Amerika Syarikat

Syarikat gergasi telekomunikasi Huawei Technologies Co. telah menyaman Amerika Syarikat di atas penyitaan peralatan telekomunikasi oleh pegawainya yang menyiasat lesen eksport peralatan berkenaan.

Huawei, pengeluar telefon pintar terbesar China menyatakan bahawa mereka telah menunggu hampir dua tahun keputusan dari Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat.

Pihak Huawei ingin mengetahui sama ada peralatan terbabit  boleh ‘dipulangkan’ semula ke China. Sebenarnya, peralatan-peralatan itu dihantar ke sana (Amerika Syarikat) untuk diuji.

“Pihak defendan (Amerika Syarikat) tidak menyatakan apa-apa keputusan tentang perlesenan peralatan itu bahkan tidak memberi sebarang maklum balas mengenainya. Defendan seolah-olah tidak bertanggungjawab tentang peralatan tersebut.”

Dengan terjadinya insiden ini, ia ternyata menjadi pertikaian antara Huawei dan kerajaan Amerika Syarikat yang sudah ‘berperang’ selama berbulan-bulan.

Ia terjadi berikutan dakwaan Amerika Syarikat kepada Huawei bahawa syarikat berkenaan menipu sekurang-kurangnya empat bank kerana menyembunyikan urusan perniagaan di Iran yang melanggar sekatan Amerika Syarikat.

Oleh itu, pihak Amerika Syarikat telah ‘mengharamkan’ syarikat telekomunikasi terbabit dan melarangnya dari membeli perisian dan komponen darinya (AS). Malah, Rebecca Glover yang merupakan jurucakap Jabatan Perdagangan itu masih belum memberi sebarang maklum balas tentang isu ini.

Meng Wanzhou (Gambar : BBC)

Manakala, Meng Wanzhou, Ketua Pegawai Kewangan Huawei yang didakwa dalam kes penipuan itu bebas dengan jaminan di Vancouver, British Columbia. Meng yang merupakan anak perempuan pengasas Huawei itu ditahan Disember 2018 lalu kerana mendakwa bahawa tuduhan Amerika Syarikat adalah bersifat politik.

Berbalik kepada isu peralatan tadi, peguam Huawei mengatakan bahawa peralatan itu dihantar ke makmal California untuk ujian pada Julai 2017 dan ianya berada di bawah kawalan eksekutif unit A.S. Huawei. Dalam perjalanan pulang ke China, peralatan tersebut telah dirampas di Alaska.

Firma China itu menjelaskan bahawa pihak Huawei sebenarnya telah menyediakan semua maklumat yang diperlukan sewaktu penghantaran berkenaan yang tidak memerlukan lesen di bawah Peraturan Pentadbiran Eksport Amerika Syarikat.

Tambah firma itu lagi, pegawai perdagangan telah menyimpan peralatan itu selama 20 bulan tanpa ada apa-apa keputusan mengenainya. Oleh itu pihaknya meminta mahkamah menyiasat adakah tindakan kerajaan di bawah kendalian Trump itu wajar atau disengajakan.

Kes Huawei v. U.S. Department of Commerce, 19-cv-1828, U.S. District Court, District of Columbia (Washington).

Sumber : Bloomberg

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.