Siakap Keli
Gambar Hiasan

Wanita Tidak Siuman Bertindak Agresif Baling Asid

BUKIT MERTAJAM – Seorang wanita dipercayai kurang siuman bertindak agresif dengan menyimbah asid ke arah anak saudaranya dan anggota polis dalam kejadian di rumahnya di Taman Impian, di sini hari ini sebelum janda anak satu itu berjaya ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, seorang wanita yang merupakan anak saudara suspek telah menghubungi  polis memaklumkan ibu saudaranya berusia 51 tahun itu dalam keadaan marah sebelum dia menjadi agresif.

“Wanita itu mengesyaki ibu saudaranya mengalami sakit mental sejak setahun lepas dan pernah menerima rawatan (sakit mental) di klinik Jalan Perak, dekat sini. Jadi, dia menghubungi polis untuk minta bantuan menghantar wanita tersebut ke hospital bahagia.

“Suspek sebelum itu marah-marah dan menyimbah asid ke arah anak saudaranya dan kereta mangsa, namun wanita (anak saudara) berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini malam ini.

Berikutan itu, anggota peronda polis (MPV) dihantar ke lokasi kejadian untuk memberi bantuan dan membuat tangkapan bagi menghantar wanita berkenaan ke hospital bahagia.

Nik Ros Azhan berkata apabila sampai di rumah wanita itu, anggota polis memanggil wanita itu keluar dari rumahnya dan semasa keluar, dia membawa tiga bilah pisau untuk menyerang anggota berkenaan.

Katanya anggota berkenaan cuba memujuk wanita itu, namun tidak berjaya, sebaliknya dia tiba-tiba membaling tiga bilah pisau ke arah polis tetapi tidak mengenai sesiapa.

“Wanita itu, yang tidak bekerja, bertindak melarikan diri dengan memandu Proton Saga putih kepunyaannya dan semasa memandu, dia telah melanggar motosikal anggota polis dan pintu pagar jirannya malah cuba melanggar anggota polis yang berada di hadapan rumah,” katanya.

Beliau berkata anggota polis itu bertindak melepaskan satu das tembakan ke arah tayar belakang kereta mangsa tetapi wanita tersebut tetap memandu kenderaannya sebelum melanggar sebuah kereta di situ dan kenderaannya turut tersangkut di kawasan itu.

Menurutnya, ketika anggota polis cuba membuka pintu kereta, wanita itu membaling asid ke arah anggota polis kerana mahu melarikan diri, bagaimanapun polis berjaya menahan suspek sebelum membawanya ke Hospital Bukit Mertajam bagi pemeriksaan lanjut.

“Polis merampas tiga bilah pisau yang digunakan dalam kejadian itu daripada wanita terbabit,” katanya.

Sumber : BERNAMA

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.

Dari Wiser.my

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.