Siakap Keli

Memperingati Aksi Juruterbang APMM Kendali Pesawat Padam Kebakaran, Jasa Terus Dikenang Sepanjang Zaman

Masih ingatkah kita kepada tragedi kebakaran yang besar berlaku di Indonesia sehingga menyebabkan jerebu merentas sempadan ?

Dalam peristiwa tersebut, pihak Malaysia telah menghantar bantuan untuk memadamkan kebakaran  yang berlaku di Palembang, Sumatera Selatan, Indonesia. Pada tahun 2015 sewaktu kebakaran itu berlaku, Malaysia telah menghantar dua pesawat iaitu pesawat jenis Bombardier CL415MP dan helicopter AS 365 N3 Dauphin milik Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (APMM) bagi operasi memadamkan api.

Namun, apa yang menarik dalam operasi tersebut adalah aksi pesawat Bombardier yang melakukan ‘water bombing’ di kawasan kebakaran.

Kecekapan juruterbang pesawat berkenaan, Komander Maritim Azizan Bin Buang mengendalikan pesawat CL 415 tersebut telah mendapat pujian rata-rata warga Indonesia dan juga Malaysia.

Tidak terlepas, Laksamana Madya Maritim Dato’ Che Hassan Bin Jusoh juga turut berbangga dan memuji tindakan juruterbang APMM tersebut. Perkara ini adalah kerana tindakan beliau yang mengambil risiko turun ke kawasan sungai kecil untuk mencedok air menggunakan pesawat tersebut.

Walaupun begitu, operasi tersebut menghadapi cabaran getir kerana jarak rendah akibat jerebu yang teruk menyukarkan operasi tersebut. Selain itu, keadaan sungai tersebut yang kecil dan mempunyai bot-bot kecil nelayan merupakan cabaran yang dihadapi. Oleh yang demikian, mereka terpaksa menggunakan helicopter Dauphin untuk membuat pemantauan bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

Kecekapan juruterbang APMM, Komander Maritim APMM Azizan Mohd Buang kini menjadi kebanggaan dan kenangan bagi Malaysia. Perkara ini adalah kerana beliau telahpun meninggal dunia pada 10 Jun 2017 akibat jangkitan kuman pada paru-paru beliau.

Allahyarham juga telah meninggalkan seorang isteri serta dua orang anak lelaki yang berusia 17 dan 15 tahun. Pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar bagi seluruh warga Maritim Malaysia. Aksi dan tindakan beliau ketika mengendalikan pesawat Bombardier milik APMM semasa operasi memadam kebakaran di Indonesia merupakan sumbangan yang tidak akan dilupakan oleh warga Malaysia dan juga Indonesia.

Walaupun sudah dua tahun Allahyarham telah meninggalkan kita, namun jasa dan pengorbanan beliau masih lagi dikenang sehingga kini. Tindakan berani beliau menjadi contoh kepada penguat kuasa yang lain untuk terus komited dengan tugas dan operasi yang mendatang.

Sumber: Air Times News Network, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa