Siakap Keli

7 Tanda Anda Perlu Tukar Pengasuh Anak Anda

Pemilihan pengasuh yang betul amat penting bagi memastikan keselamatan dan kesihatan anak-anak terjaga baik dari segi fizikal, mental dan spiritual. Kes penderaan melibatkan pengasuh bukanlah perkara yang asing lagi berlaku dalam masyarakat kita bahkan, ada kes penderaan yang meragut nyawa.

Tiada ibubapa yang ingin anaknya ditimpa kesusahan. Namun keadaan semasa seperti jarak rumah pengasuh, waktu bekerja ibu bapa dan kos upah membuatkan sesetengah ibubapa kadangkala terpaksa ‘berkompromi’ dengan pemilihan pengasuh.

Walaubagaimanapun, wang boleh dicari, anak tiada ganti dan masa tidak boleh diundur kembali. Biar kita bersusah dan cerewet sedikit dalam memilih pengasuh sebelum berlaku sesuatu yang tidak diingini. Berikut merupakan 7 tanda dikongsikan oleh Hello Doktor menunjukkan anda perlu menukar pengasuh.

1. Anak anda takut setiap kali anda ingin menghantarnya ke rumah pengasuh. Kanak-kanak akan menangis atau menunjukkan tantrum setiap kali anda ingin menghantar mereka ke sana.

Gambar hiasan. (Gambar: Raising Children Network)

2. Pengasuh kelihatan berahsia tentang rutin harian anak anda. Sepatutnya, rutin anak di rumah pengasuh bukanlah perkara rahsia untuk ibu. Selepas pulang berkerja, sudah tentu anda ingin tahu apa yang dilalui oleh anak anda di rumah pengasuh. Jika pengasuh anak anda tidak memberitahu anda tentang perkara tersebut, sama ada dia kurang dalam berkomunikasi ataupun ada sesuatu yang dirahsiakannya.

3. Tugas seorang pengasuh adalah untuk menjaga anak anda, bermakna pengasuh perlu memerhatikan dan memantau keselamatan anak anda sepanjang kanak-kanak berada dalam jagaannya. Jika anak anda banyak kali mengalami kemalangan atau kecederaan di rumah pengasuh, ini adalah sesuatu yang perlu anda awasi.

Gambar hiasan. (Gambar: FirstCry Parenting)

4. Pengasuh tidak mengikut permintaan anda. Sudah tentu anda ada cara sendiri untuk mendidik anak anda seperti dari segi pemakanan, tidur dan keselamatan anak. Jika pengasuh bertindak seperti dia yang lebih tahu untuk membesarkan anak anda, jadi ini mungkin alasan untuk anda tukar pengasuh anak.

5. Anak anda kelihatan tidak terurus dan kotor. Kanak-kanak memang gemar main kotor. Namun, jika setiap kali anda mengambil anak dalam keadaan kotor dengan lampin tidak ditukar, ini mungkin tanda-tanda anda perlu mencari pengasuh lain untuk anak anda.

6. Anak anda kerap lapar dan letih setiap kali anda mengambilnya balik. Ini mungkin petanda pengasuh tidak mengikut rutin makan dan tidur siang anak anda.

Gambar hiasan. (Gambar: Happy Sleepers)

7. Naluri anda mengatakan ada sesuatu yang tidak kena pada pengasuh. Jika anda mempunyai perasaan yang buruk tentang pengasuh, lebih baik anda ikut naluri anda. Lebih baik jika anda menukar pengasuh anak dan mencari orang yang lebih sesuai untuk menjaga anak anda.

Kepada pengasuh, tugas menjaga anak kecil sememangnya mencabar. Jika rasa kurang mampu bersabar, lebih baik pilih kerja lain yang sesuai dengan tahap kesabaran anda untuk kebaikan kedua-dua pihak. Jangan kerana semata-mata inginkan wang, anda pilih kerja yang menguji kesabaran dan kewarasan sehingga akhirnya anak asuhan menjadi korban.

Semoga anak-anak kita dijauhi daripada menjadi mangsa kezaliman orang dewasa.

Sumber: Hello Doktor

Amira

Love yourself.