Siakap Keli
Gambar Hiasan(Foto: Business Insider/StyleCraze)

Ada Orang Kata Ibu Mengandung Tak Boleh Makan Durian, Betul Ke? Ini Penjelasannya

Ketika ini, boleh dikatakan hampir setiap kawasan sudah pasti ada sahaja peniaga yang sedang menjual durian. Keenakkannya menjadi kegilaan ramai tanpa mengira bangsa dan peringkat umur.

Namun, pernah tak anda dengar dakwaan yang mengatakan wanita hamil tidak digalakkan untuk makan durian? Ada yang mengatakan kandungan gula yang tinggi serta suhu durian tidak baik untuk ibu dan kandungan yang dimiliki.

Tapi, betul ke? Untuk mengetahui jawapannya, mari kita ikuti perkongsian yang dipetik dari laman Hello Doktor ini.

Membongkar mitos durian

Anda boleh makan durian semasa anda mengandung dan sebenarnya ia boleh memberi manfaat kepada anda. Durian mengandungi organo-sulphur dan tryptophan. Sebatian ini mempunyai kesan antioksidan. Durian juga mengandungi ciri-ciri antimikrob, antibakteria dan antikulat, yang memberikan kesan yang positif terhadap kehamilan. Walau bagaimanapun, durian juga mengandungi banyak gula dan karbohidrat. Dua ulas durian bersaiz sederhana mengandungi kira-kira 60 kalori. Jadi, durian dikira sebagai makanan glisemik tinggi. Anda perlu mengehadkan pengambilan durian semasa mengandung walaupun secara amnya ia selamat diambil oleh wanita hamil. Pun begitu, ibu hamil yang mendapat diabetes gestasi tidak boleh mengambil durian kerana kandungan gulanya tinggi.

Bagi negara-negara Asian tertentu, wanita hamil adalah dilarang daripada makan durian. Ini kerana, masyarakat percaya bahawa wanita yang sedang mengandung perlu mengelak daripada makan durian memandangkan pengamal perubatan purba mengatakan bahawa durian boleh memanaskan tubuh ibu dan bayi dalam kandungan. Hakikatnya, tiada sebarang bukti saintifik yang menyokong kenyataan tersebut. Jika anda mengidam makan durian tetapi khuatir akan kesannya, anda disarankan untuk berjumpa doktor anda dahulu, untuk langkah berjaga-jaga.

Manfaat durian kepada kesihatan

1. Durian tinggi dengan kalori, mineral dan vitamin. Buah ini juga mempunyai isi yang lembut, yang mudah untuk dicerna. Kandungan gula ringkas dalam durian seperti fruktosa dan sukrosa boleh memberikan lebih tenaga, menjadikan anda rasa bertenaga.
2. Durian tidak mengandungi sebarang kolesterol atau lemak tepu.
3. Durian juga adalah sumber serat pemakanan yang baik. Buah ini sama dengan laksatif semula jadi dan mencegah masalah sembelit, yang selalunya dialami oleh ibu hamil.
4. Kandungan serat dalam durian boleh membantu memastikan membran mukus anda selamat kerana ia mengurangkan masa pendedahan kepada toksin. Durian juga membantu mencegah dan menghapuskan sebarang bahan kimia daripada usus, yang boleh menyebabkan kanser.
5. Durian juga penuh dengan vitamin B dan vitamin kompleks seperti niacin, thiamin, dan riboflavin. Kesemua vitamin ini meningkatkan keseluruhan kesihatan anda dan memainkan peranan yang penting dalam menyihatkan fungsi tubuh.
6. Durian adalah sumber baik kuprum, mangan, zat besi, dan magnesium. Kuprum dan zat besi merangsang sel darah merah dalam tubuh anda, yang penting untuk pertumbuhan dan perkembangan bayi dalam kandungan.

Maka, dengan penjelasan ini, diharapkan dapat menjawab segala kekeliruan dalam diri setiap daripada kita, terutama ibu mengandung yang ‘hantu durian’ dekat luar sana.

Sumber: Hello Doktor

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi