Siakap Keli
Foto: Reddit/FedEx

Giliran FedEx Saman Kerajaan Trump Kerana ‘Kacau’ Bisnesnya Dengan Huawei

Syarikat penghantaran gergasi dunia, FedEx dilaporkan telah memfailkan tuntutan undang-undang terhadap kerajaan Amerika Syarikat(AS) selepas dipaksa terlibat dalam krisis sekatan terhadap Huawei.

Mereka mendakwa diarahkan untuk memerhati dan menyemak semua penghantaran melibatkan syarikat pengeluar dari China itu dan mengatakan ia mustahil dan mereka bukanlah ‘polis perdangangan’ bagi kerajaan AS.

FedEx sebelum ini dikatakan telah gagal menghantar sebuah peranti Huawei yang dikirimkan dari Britain ke Amerika Syarikat. Selain itu, mereka juga didakwa tidak mengirimkan pakej yang sepatutnya diterima oleh pejabat Huawei di China.

“Walaupun dengan sistem komputer yang menakjubkan dan pelaburan yang kami telah lakukan, ia adalah mustahil. Kami tidak boleh jadi ‘polis’ untuk Jabatan Perdagangan AS,” kata Pengerusi FedEx, Fred Smith kepada Fox News.

Tindakan memfailkan saman itu diambil bagi mengelakkan campur tangan kerajaan dalam urusan penghantaran mereka dan membolehkan mereka berurus niaga dengan Huawei seperti biasa selepas ini.

Gambar Hiasan(Foto: Firstpost)

Ketika ini, semua syarikat penghantaran di Amerika perlu mematuhi peraturan yang menetapkan mereka tidak boleh menghantar barangan yang melibatkan syarikat yang tersenarai dalam ‘entity list’ dengan sewenang-wenangnya.

‘Entity list’ adalah senarai syarikat luar yang mana syarikat atau organisasi di Amerika perlu mendapat kebenaran kerajaan terlebih dahulu sebelum berurusniaga dengan mereka.

Jadi, peraturan yang ditetapkan Jabatan Perdagangan AS ini jelas menyusahkan pembekal perkhidmatan kurier termasuk FedEx sendiri. Namun, ia terpaksa diikuti ketika ini kerana jika gagal, ia boleh memberikan kesan buruk kepada pembekal perkhidmatan.

Sebelum ini, Huawei memberitahu bahawa mereka agak terkejut apabila barangan yang sepatutnya dihantar dari Jepun ke pejabat mereka di China oleh FedEx tidak diterima mereka.

FedEx pada awalnya memberitahu mereka ‘tersalah laluan’ dan menghantarnya ke Amerika. Mereka meminta maaf kepada Huawei dan syarikat China itu menerima permohonan maaf daripada mereka, namun mengesyaki ia bukanlah masalah kesilapan laluan.

Bercakap mengenai Huawei, FedEx memberitahu bahawa hubungan baik antara mereka dengan Huawei dan syarikat lain di China adalah sangat penting untuk memastikan perniagaan mereka terus berlangsung dengan baik.

Sumber: Fox Business

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi