Siakap Keli
Gambar : Facebook

Kemalangan Maut Di Gerik : Ketiga-Tiga Mangsa Sahabat Karib

Kota Bharu : Tiga yang maut dalam kemalangan melibatkan sebuah MyVi dengan sebuah bas persiaran di Jalan Gerik-Baling, petang semalam merupakan sahabat karib sejak dibangku sekolah rendah.

Abang kepada salah seorang mangsa, Mohamad Syafiq Ahmad Kamil, 28, berkata adiknya, Mohamad Syahidi, 24, berkawan rapat dengan dua lagi mangsa, Khairul Amirin Tengku Kamarudin dan Mohamad Shazlimie Mohd Rosli.

Menurutnya, ketiga-tiga mereka yang sebaya, amat rapat dan bersekolah rendah bersama di Sekolah Kebangsaan (SK) Ismail Petra dan kemudiannya di Sekolah Menengah (SM) Putera.

Beliau berkata kejadian itu amat mengejutkan kerana arwah adalah antara orang yang boleh diharapkan untuk memandu kenderaan khususnya bagi perjalanan jarak jauh.

“Sebelum dia bertolak ke Perlis, arwah baru sahaja pulang dari Kuala Lumpur bersama bapa.

“Memang kami tidak menjangkakan kemalangan ini meragut nyawanya apatah lagi bersama dua rakan karibnya sejak kecil,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 petang, Perodua MyVi yang dinaiki mangsa dikatakan bertembung dengan sebuah bas persiaran menyebabkan ketiga-tiga mereka maut di tempat kejadian.

Difahamkan, mereka dalam perjalanan dari Pulau Pinang melalui Baling menuju ke Kota Bharu manakala bas persiaran dari arah Gerik menuju ke Pulau Pinang.

Sementara itu, seorang lagi penumpang kenderaan itu, Mohd Shahrin Rasid, 23, parah dan menerima rawatan di Hospital Gerik.

Mohamad Syafiq berkata adiknya bersama rakan lain sebenarnya bergerak ke Universiti Teknologi Mara (UiTM), Arau, Perlis, untuk menukar kereta dengan adik bongsunya, Mohamad Syarif, 19, dan merancang untuk “makan angin” di Pulau Pinang.

Katanya, beliau mengetahui kejadian yang menimpa adiknya itu selepas menerima panggilan telefon daripada bapanya, Ahmad Kamil Sa’ud, 62, yang menerima khabar buruk itu daripada pihak polis.

”Keluarga kini menuntut jenazah yang dijangka dibawa pulang untuk dikebumikan hari ini.

“Arwah adalah anak kelima daripada enam adik beradik yang sedang cuti semester dan berada di Tahun Dua dalam pengajian Diploma Geomatik di Politeknik Merlimau, Melaka,” katanya.

Jenazah adiknya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Tanjung Chat, di sini, katanya.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.