Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Lepaskan Satu Das Tembakan : Lima Individu Geng Kongsi Gelap Ditahan

Shah Alam : Polis menahan lima individu disyaki anggota kumpulan kongsi gelap susulan seorang daripada mereka melepaskan satu das tembakan ke udara dalam satu kejadian di hadapan sebuah restoran di Taman Alam Megah, di sini pada Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata dalam kejadian pukul 11.30 malam itu, kumpulan terbabit yang terdiri daripada sepasang suami isteri dan tiga lelaki pada mulanya sedang meminum arak di luar restoran berkenaan.

Beliau berkata setelah mereka dilihat dalam keadaan mabuk, beberapa pelanggan restoran tersebut telah menegur tingkah laku mereka menyebabkan berlakunya perselisihan faham dan pertengkaran antara kesemua anggota kumpulan berkenaan dengan kumpulan pelanggan terbabit.

”Semasa pertengkaran, tidak berlaku sebarang kecederaan kepada mana-mana pihak. Namun, seorang daripada anggota kumpulan kongsi gelap itu telah mengambil sepucuk pistol semi auto jenis CZ Compact buatan Republik Czech dalam kenderaan pacuan empat rodanya yang berisi peluru hidup.

”Suspek kemudiannya melepaskan satu das tembakan ke udara dipercayai untuk memberi amaran. Difahamkan, beberapa pelanggan di restoran berkenaan mengenali kumpulan individu terbabit,” katanya dalam  sidang media, di sini hari ini.

Baharudin berkata bertindak atas maklumat itu, polis menyerbu sebuah rumah di Putra Heights, Subang Jaya pada pukul 11 malam Khamis lepas dan menahan suspek utama iaitu lelaki yang melepaskan tembakan berkenaan bersama isterinya.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan pacuan empat roda suspek, polis menemui pistol berisi dua butir peluru dalam sebuah beg yang dipercayai digunakan lelaki itu semasa kejadian berkenaan.

Beliau berkata pada mulanya, suspek mendakwa kenderaan tersebut milik bapa mertuanya namun pemeriksaan lanjut menemui 22 lagi butir peluru berukuran 9 milimeter dalam satu plastik di atas meja di ruang tamu rumah berkenaan.

”Hasil soal siasat ke atas lelaki berumur 34 tahun itu, polis berjaya menahan tiga lagi rakannya yang bersamanya ketika kejadian di sekitar kawasan berdekatan.

”Siasatan awal mendapati, suspek yang bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi itu membeli pistol berkenaan pada harga RM3,000 di selatan Thailand. Hasil soal siasat juga mendapati, lima individu ini dipercayai bergiat aktif dalam kegiatan kongsi gelap di Kuala Lumpur dan kini sedang cuba ‘meluaskan’ pengaruh mereka di Selangor,” katanya.

Mengulas mengenai kegiatan kumpulan kongsi gelap itu, Baharudin berkata mereka merupakan penarik kereta selain mengaut wang pelindungan, menyamun serta merompak dengan mendatangkan kecederaan.

Katanya, kesemua suspek berumur 23 hingga 34 tahun itu direman selama tujuh hari hingga Khamis ini dan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Dalam kes berlainan, Baharudin berkata dua lelaki ditahan dalam tempoh 20 minit selepas mereka cuba menyamun kedai serbaneka di sebuah stesen minyak di Sri Muda, Seksyen 25 di sini pada Sabtu lepas.

Beliau berkata dalam kejadian pukul 9 malam itu, seorang suspek warga tempatan berumur 29 tahun diberkas oleh orang awam di luar stesen minyak itu manakala rakannya seorang warga Myanmar, 32, ditahan Unit Kereta Peronda (MPV) selepas keluar daripada longkang berdekatan lokasi kejadian untuk menyorok.

”Kedua-dua suspek yang menaiki motosikal masuk ke kedai serbaneka itu membawa sebilah parang berukuran 60 sentimeter untuk menyamun, tetapi mereka hanya meragut seutas rantai leher yang dipakai seorang pelanggan wanita di kedai itu sebelum melarikan diri.

”Seorang pekerja warga asing di stesen minyak itu menjerit meminta pertolongan menyebabkan beberapa pelanggan di restoran berdekatan berkejar ke lokasi kejadian dan cuba bergelut untuk menahan kedua-dua suspek yang sedang melarikan diri namun tiada kecederaan dilaporkan,” katanya.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua suspek, polis merampas dua utas rantai termasuk milik mangsa di kedai serbaneka itu, tiga telefon bimbit pelbagai jenama serta wang tunai RM700 dan mereka disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.