Siakap Keli

Nyawa Nyaris Melayang Ketika Tidur Gara-Gara Tablet Dicaj Letak Atas Katil Terbakar

Perbuatan tidur bersama gajet yang sedang dicas sememangnya berbahaya. Sebelum ini, kita telah menyaksikan beberapa kes menyebabkan kematian disebabkan peranti yang dibiarkan dicas semalaman meletup dan terbakar hingga menyebabkan kecederaan dan meragut nyawa.

Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun di United Kingdom bernasib baik apabila tablet yang sedang dicas terbakar serta menembusi cadar dan tilamnya sehingga ke spring ketika dia sedang tidur.

Menurut Pasukan Bomba dan Penyelamat Staffordshire, mereka sekeluarga bernasib baik kerana tilam tersebut tidak terbakar. Ayah kanak-kanak berkenaan telah membuat panggilan kecemasan setelah melihat kesan kebakaran tersebut yang menyebabkan bilik kanak-kanak berkenaan diselaputi jelaga hitam.

Peranti tersebut telah dibeli 4 tahun lalu dan dicas dengan pengecas original sejak jam 9 malam sebelumnya.

Jurucakap bomba, Brad Robins berkata kejadian itu boleh menjurus kepada tragedi meragut nyawa. Beliau turut berpesan supaya mengikut langkah keselamatan ketika mengecas telefon dengan menggunakan kabel asli dan mematuhi arahan pengilang. Selain itu, orang ramai turut diingatkan untuk elakkan meletak gajet di atas permukaan yang boleh terbakar apabila peranti menjadi panas.

“Pastikan pengesan asap dipasang dan berfungsi di dalam rumah anda dengan melakukan pemeriksaan berkala. Bangunan ini tidak mempunyai pengesan asap yang mungkin boleh memberi amaran kepada mereka lebih awal, tambahnya.”

Berikutan kejadian itu, pihak bomba tempatan telah memasang 2 pengesan asap di kediaman tersebut setelah kejadian dan akan mengadakan taklimat keselamatan di sekolah-sekolah berhampiran kawasan tersebut.

Sumber: 9News.com.au

Amira

Love yourself.