Siakap Keli

Siasatan Berhubung Insiden Guru Rotan Pelajar Dijalankan

PUTRAJAYA, 25 Jun (Bernama) — Siasatan berhubung insiden seorang pelajar perempuan di Johor Bahru dirotan guru selepas dipercayai mengeluarkan perkataan biadap yang tular sejak semalam sudah mula dijalankan, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Maszlee berkata beliau telah menerima laporan berkenaan kejadian seorang guru telah merotan seorang murid perempuan kerana menegur beliau dengan ayat ah qua lao shi (cikgu pondan) ketika guru tersebut lalu di koridor tanpa sebab.

Mengambil maklum kejadian itu, Maszlee telah mengarahkan pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bharu untuk menjalankan siasatan agar keadilan dapat diberikan kepada kedua pihak iaitu guru dan murid yang terlibat.

“Siasatan telah mula dijalankan dan PPD juga akan mengadakan perjumpaan dengan ibu bapa murid berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini berhubung insiden itu.

Katanya penularan video dan gambar berkaitan kes itu perlu dihentikan demi menjaga imej guru dan murid tersebut serta memberi ruang kepada PPD Johor Bahru dan pihak terbabit untuk menjalankan tugas siasatan sebaik mungkin.

“Kementerian Pendidikan positif perkara ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat, mengikut tatacara dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang bersesuaian,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau menegaskan bahawa sebarang bentuk kekerasan ke atas murid haruslah ditolak sama sekali.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.