Siakap Keli
Gambar Hiasan FMT

Hukuman Penjara 6 Bulan Guru Didakwa Cederakan Pelajar Dikurangkan Kepada 1 Hari

SHAH ALAM, 26 Jun (Bernama) — Seorang ustaz yang dihukum penjara enam bulan kerana mencederakan anak muridnya berusia 11 tahun di bahagian kaki kiri dan kanannya menarik nafas lega selepas  Mahkamah Tinggi di sini hari ini menggantikan hukuman penjara  itu dengan sehari sahaja.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman membuat keputusan itu terhadap Muhammad Adib Abd Halim, 25, selepas mendengar rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara enam bulan serta hukuman denda yang dijatuhkan Mahkamah Majistret Kajang pada November lepas.

Mahkamah mengetepikan hukuman penjara enam bulan itu dan menggantikannya dengan penjara sehari, bagaimanapun menaikkan jumlah denda daripada RM2,000 kepada RM4,000 terhadap Muhammad Adib.

Hakim itu juga mengekalkan sabitan terhadap Muhammad Adib selaku perayu.

Lelaki itu merayu terhadap sabitan dan hukuman diputuskan oleh Majistret Nor Afidah Idris pada 16 Nov lepas, yang mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan

Perayu diwakili peguam Khairul Amin Abdullah sementara Timbalan Pendakwa Raya R. Puspharasi hadir bagi pihak responden.

Muhammad Adib sebelum ini dibicarakan atas tuduhan menyebabkan kecederaan ke atas murid lelaki darjah lima itu di dalam kelas di sebuah sekolah rendah agama di Bandar Seri Putra, Hulu Langat, pada  2.25 petang, 16 Ogos 2017.

Dia dihukum mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Khairul Amin ketika ditemui pemberita di luar mahkamah memaklumkan bahawa anak guamnya akan dihantar ke Penjara Kajang dan dibebaskan lewat petang ini.

Selain itu, katanya, keluarga Muhammad Adib juga akan membayar denda tersebut.

Kes Muhammad Adib sebelum ini tular di media sosial berikutan tindakannya merotan murid itu yang dikatakan enggan menunaikan solat.

Sumber: BERNAMA

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa