Siakap Keli
Gambar: Health/How Stuff Works

Ini Alasan Kenapa Cuti Paterniti Untuk Suami Penting Dan Diperlukan Setelah Isteri Bersalin

Sebelum ini, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar telah mengeluarkan kenyataan untuk meminda Akta Kerja 1955 bagi membolehkan pekerja wanita di sektor swasta menikmati cuti bersalin daripada 60 hari kepada 90 hari.

Terbaru, pihak kementerian juga sedang berusaha untuk meminda akta bagi membolehkan golongan bapa yang bekerja di sektor swasta diberikan cuti paterniti selama tiga hari bagi menemani isteri yang baru lepas bersalin.

Draf pindaan Akta Kerja 1955 sedang dipersiapkan dan akan dibentangkan di Parlimen selepas perbincangan dengan Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLEC), wakil kesatuan sekerja dan wakil majikan.

Dato’ Mahfuz Omar. (Gambar: Bernama)

Pindaan draf ini berikutan desakan oleh Pertubuhan Pertolongan Wanita (WOA) yang menuntut supaya pekerja swasta turut mendapat cuti paterniti sama seperti golongan bapa dalam sektor kerajaan yang mendapat cuti paterniti bergaji selama 7 hari.

Namun begitu, hal ini tidak dipersetujui oleh Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan yang mengatakan bahawa pemberian paterniti akan memberi kesan kepada kos operasi syarikat.

Katanya, berdasarkan kajian, majikan terpaksa menanggung kos lebih RM 150 juta setahun jika langkah itu dilaksanakan. Baginya, pemberian cuti untuk membina ikatan kekeluargaan antara suami, isteri dan anak yang baru dilahirkan itu perlu diubah dengan cara lain tanpa membabitkan sebarang kos perlu ditanggung majikan.

Berikut merupakan petikan daripada Hello Doktor yang berpendapat pemberian cuti paterniti penting bagi memastikan kesihatan isteri stabil dari segi fizikal, mental dan spiritual.

Kepentingan cuti paterniti buat isteri

Gambar: Hello Doktor

Setelah bersalin, seorang isteri akan melalui fasa perubahan dramatik dalam tahap hormon sekaligus mempengaruhi emosi. Oleh itu, sokongan bapa untuk membantu penjagaan anak dari segi praktikal amat penting bagi isteri yang baru melahirkan, bukan semata-mata sekadar untuk membina ikatan kekeluargaan antara ibu, ayah dan anak.

Menurut Pembantu Profesor Obstetrik dan Ginekologi di University College of Physicians and Surgeons di New York, Dr. Hilda Hutcherson, situasi itu adalah sesuatu yang normal dan perubahan emosi itu merupakan perkara yang tidak mendatangkan kebimbangan.

Tempoh rapuh untuk ibu

Gambar hiasan. (Gambar: KMP Blog)

Tempoh postpartum (selepas bersalin), merupakan satu tempoh paling rapuh bagi wanita, terutama bagi yang melalui proses kelahiran melalui pembedahan. Ia bukan sekadar melibatkan kesakitan fizikal, tetapi ia turut melibatkan aspek perubahan emosi. Ketika tempoh ini, badan akan mengalami pelbagai perubahan sepanjang proses pemulihan badan.

Semasa tempoh ini, badan seorang wanita akan kerap untuk berasa sakit dan lesu. Ia akan memerlukan tempoh masa selama 4 hingga 6 minggu untuk kembali pulih dan rasa kembali bertenaga. Walau bagaimanapun, jika kaedah bersalin adalah secara pembedahan C-section, ia mungkin perlu mengambil tempoh yang lebih lama untuk pulih.

Semasa postpartum, terdapat beberapa simptom-simptom yang akan dialami oleh badan, antaranya seperti di bawah:

  • Bengkak
  • Pendarahan faraj
  • Kesakitan faraj
  • Bengkak payudara
  • Kekejangan
  • Masalah pundi kencing
  • Masalah pergerakan usus
  • Rambut menipis
  • Kehilangan pigmentasi kulit
  • Kemurungan selepas bersalin
  • Kekurangan tenaga

Bahaya kesan postpartum

Kebanyakan individu wanita, selepas kelahiran bayi akan melalui fasa emosi yang dipanggil “baby blues” semasa beberapa hari terawal selepas bersalin. Puncak fasa ini biasanya pada hari keempat dan akan berkurangan dalam masa kurang daripada dua minggu.

Gambar: News-Medical.net

Walau bagaimanapun, terdapat kemungkinan untuk seseorang wanita mengalami blues lebih daripada tempoh tersebut, malah terdapat juga risiko untuk wujudnya kecenderungan untuk mencederakan diri sendiri atau bayi, ia adalah berkaitan dengan kemurungan selepas bersalin (Postpartum depression) atau meroyan yang boleh dikaitkan dengan kecelaruan emosi serta perasaan dan keresahan perinatal (Perinatal Mood and Anxiety Disorder, PMAD).

Pentingnya sokongan suami

Sememangnya cuti selama tiga hari tidak mungkin mencukupi buat isteri, tetapi sekurang-kurangnya dalam tempoh yang singkat itu, ia dapat membantu mengurangkan tekanan dan bebanan yang dihadapi isteri pada awal-awal kelahiran anak, terutama bagi pasangan yang pertama kali mendapat cahaya mata.

Walaupun terdapat perkhidmatan bidan berbayar yang boleh didapati pada masa kini, namun hakikat yang perlu disedari adalah bukan semua pasangan mampu untuk mendapatkan khidmat bidan berbayar untuk menjaga isteri ketika dalam proses pantang. Malah lebih menyedihkan terdapat juga pasangan yang tidak dapat menyediakan keperluan bayi dengan lengkap.

Jadi sebenarnya, kehadiran suami selepas proses kelahiran anak bukan sahaja untuk mengukuhkan ikatan kekeluargaan antara ibu bapa dan anak, tetapi sebagai bantuan untuk meringankan bebanan dan tekanan yang mungkin dihadapi isteri.

Sumber: Hello Doktor

Amira

Love yourself.