Siakap Keli

Tanah Runtuh: Mayat Ketiga Ditemui

GEORGE TOWN, 26 Jun (Bernama) — Satu lagi mangsa kejadian tanah runtuh di tapak binaan tembok penahan tanah  di Jalan Batu Ferringhi, Tanjung Bungah dekat sini ditemui 12.15 tengah malam tadi, kata Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang.

Ini menjadikan tiga mangsa setakat ini ditemui susulan kejadian yang berlaku berhampiran sebuah pusat peranginan pada 9.25 malam hari Selasa.

Ketiga-tiga mangsa merupakan antara empat pekerja warga Myanmar yang dilaporkan digaji pemilik pusat peranginan itu untuk membaiki tembok penahan susulan pergerakan tanah yang dikesan di kawasan itu.

“Pemilik pusat peranginan mengesahkan ada berlaku pergerakan tanah di tebing jalan berdekatan sejak seminggu lepas,” kata Che Zaimani kepada pemberita di lokasi kejadian.

Mayat pertama dan kedua masing-masing ditemui kira-kira 11.15 malam dan 12 tengah malam tadi.

Katanya usaha untuk mengeluarkan kesemua mayat yang dijumpai dan mencari satu lagi mangsa masih diteruskan.

Che Zaimani berkata kesemua mayat akan dihantar Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat.

Sumber: BERNAMA

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa