Siakap Keli
Gambar : Google

12 Lagi Kes Disyaki Chikungunya Dicatatkan Di Daerah Kota Setar

Alor Setar : Dua belas lagi kes disyaki chikungunya dicatatkan di Kota Setar, menjadikan jumlah keseluruhan sehingga kini seramai 35 individu yang disyaki mengidap penyakit berkenaan, selepas dikesan mempunyai tanda-tanda demam, sakit sendi yang teruk dan ruam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata sembilan kes dicatatkan di deretan kedai berhampiran City Plaza, di sini, manakala tiga kes lagi dicatatkan di Simpang Kuala.

“Dengan penambahan itu, 28 kes telah dicatatkan di City Plaza manakala tujuh kes di Simpang Kuala, namun semua pesakit berada dalam keadaan stabil.

“Walaupun terdapat penambahan kes, siasatan menunjukkan bahawa kesemua kes telah terdedah kepada jangkitan berkenaan sebelum aktiviti kawalan dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata aktiviti kawalan vektor di Simpang Kuala yang bermula Selasa lalu diteruskan semalam dan sebanyak 71 premis di sekitar kawasan tersebut diperiksa.

“Daripada jumlah itu, sebanyak lapan kompaun telah dikeluarkan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dengan nilai RM4,000 berkaitan pembiakan nyamuk Aedes telah dikeluarkan kepada pemilik premis,” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai gejala demam dan sakit sendi terutama penduduk di kawasan Jalan Tunku Ibrahim sekitar City Plaza dan Simpang Kuala dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan lanjut di pusat kesihatan yang berdekatan.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.