Siakap Keli
Gambar Hiasan

Allahyarhamah Pengasas Dnars Terima Penghormatan Kerajaan Kelantan

Hampir sebulan lebih, masyarakat Malaysia kehilangan pengasas terkenal kosmetik Dnars, Faziani Rohban akibat kemalangan jalan raya di Thailand untuk memberi sumbangan kepada masyarakat di sana.

Terkini, Kerajaan Kelantan menyampaikan Anugerah Khas Wanita Cakna Kebajikan 2019 kepada pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad, 40, bagi menghargai sumbangan dan kebajikan yang telah dilakukan sepanjang hayatnya kepada masyarakat.

Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob kepada suami Allahyarham, Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 42, pada Majlis Perasmian Hari Sayyidatina Khadijah 2019 di sini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Mumtaz Md Nawi.


Ahmad Shah Rizal ketika ditemui berkata, beliau berasa gembira dan terharu dengan penghargaan diberikan yang disifatkannya paling besar untuk Allahyarham isterinya.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan negeri atas anugerah ini yang mana ianya satu anugerah yang paling besar, biarpun arwah pernah menerima anugerah lain sepanjang hayatnya.

Namun sayangnya arwah tidak sempat untuk merasa bangga dengan apa yang telah dilakukan selama ini. Ini adalah satu pengiktirafan yang besar apabila seorang wanita dikaitkan dengan Saidatina Khadijah, malah bagi seorang suami, saya juga tidak menafikan ciri-ciri Saidatina Khadijah itu ada pada arwah,” katanya dan menambah hari ini genap 40 hari pemergian arwah isterinya.

Pada 18 Mei lepas, Allahyarhamah Faziani telah terlibat dalam kemalangan maut yang berlaku di Pattani, Thailand ketika bersama suaminya dalam perjalanan menuju ke sebuah pondok tahfiz yang terletak di Yala, Thailand bagi menyampaikan sumbangan kepada pelajar tahfiz di sana.

Ahmad Shah Rizal berkata, walaupun Allahyarham sudah tiada, namun kebajikan yang dilakukan akan tetap diteruskan.

“Dalam masa terdekat ini juga, pihak kami sekeluarga dalam perancangan untuk membawa jemaah umrah yang memuatkan satu kapal terbang atau 400 orang, yang mana ianya juga salah satu hasrat Allahyarham yang masih belum tertunai.

“Sebahagian senarai nama sudah ada termasuk yang dicadangkan oleh arwah yang terdiri daripada anggota keluarga serta kakitangan perniagaannya dan juga lain-lain,” katanya.

Katanya, sehingga ke hari masih ramai kenalan serta orang yang bukan dikenali tidak putus-putus menziarahi beliau sekeluarga dan juga pusara Allahyarham seolah-olah arwah masih ada terutamanya ketika Aidilfitri baru-baru ini.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang