Siakap Keli
Gambar Hiasan

Amaran: Empat Produk Tidak Berdaftar Yang Telah Dikesan Mengandungi Racun Berjadual

Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Program Perkhidmatan Farmasi telah menerima maklumat daripada Health Science Authority (HSA) Singapore berkenaan empat (4) produk yang dicampur palsu dengan racun berjadual serta telah menyebabkan kesan advers yang mengancam nyawa kepada pengguna produk tersebut.

Agensi tersebut turut melaporkan bahawa terdapat premis yang menjual produk tersebut di Johor Bahru. Empat produk yang dimaksudkan adalah seperti berikut:

Gambar : Bernama

Semakan mendapati produk-produk tersebut bukan merupakan keluaran yang berdaftar dan ianya perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), Kementerian Kesihatan Malaysia.

Tindakan Penguatkuasaan Oleh Kementerian

Berdasarkan maklumat premis penjualan yang dilaporkan oleh HSA, tiga (3) operasi serbuan telah dijalankan oleh Cawangan Penguatkuasaan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Johor pada 13 hingga 17 Jun 2019 di sekitar bandaraya Johor Bahru untuk mengesan produk berkenaan.

Dalam operasi tersebut, 23 buah premis telah diperiksa. Namun begitu, kesemua produk yang diadukan tidak dikesan dijual di premis berkenaan. Pemeriksaan berkala akan diteruskan bagi memastikan tiada penjualan produk tidak berdaftar atau bahan produk yang dicampur palsu dengan racun berjadual.

Amaran Kepada Penjual Produk

KKM memberi amaran kepada semua penjual serta pembekal produk-produk tersebut agar menghentikan penjualan serta pembekalan dengan serta merta. Penjualan produk tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM 50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Nasihat Kepada Orang Awam

Pihak Kementerian menasihatkan orang ramai supaya:

[1] Tidak membeli atau menggunakan 4 produk yang telah disenaraikan tersebut. Sekiranya ada pengguna yang sedang menggunakan produk BB Body, Bello Smaze dan Choco Fit, pengguna perlu menghentikan penggunaan produk tersebut dengan serta merta dan mendapatkan rawatan segera sekiranya bimbang dengan kesihatan mereka.

[2] Pengguna yang sedang menggunakan produk Seahorse Chop Du Zhong Ba Ji Wan yang mengandungi steroid poten, pengguna disarankan agar segera berjumpa dengan doktor. Menghentikan steroid tanpa pengawasan perubatan yang betul boleh menyebabkan tanda-tanda pengunduran (withdrawal) yang serius seperti keletihan, kekeliruan dan tekanan darah rendah, terutamanya apabila produk telah diambil selama lebih dari beberapa minggu.

[3] Sentiasa berhati-hati sewaktu membeli ubat-ubatan, produk kesihatan dan kosmetik untuk mengelakkan bahaya yang mungkin timbul apabila menggunakan produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi. Produk berdaftar mempunyai nombor pendaftaran MAL dan label Hologram Meditag pada bungkusannya.

Semua pembekalan ubat-ubatan yang mengandungi racun berjadual (Ubat Terkawal) adalah tertakluk di bawah Akta Racun 1952 yang perlu dipatuhi oleh pengamal perubatan dan ahli farmasi.

Orang awam juga boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk melalui laman sesawang http://npra.moh.gov.my ATAU dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400.

Selain itu, orang ramai juga boleh memuat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store bagi menyemak status pendaftaran produk tersebut. Sebarang aduan dan maklumat berkenaan produk dan kosmetik yang meragukan, laporan boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my.

Atau mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan melalui talian 03-7841 3200 bagi membantu kementerian membanteras penjualan produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi yang boleh memudaratkan bagi melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam.

Sumber : Bernama

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.