Siakap Keli

Terkini: Gunung Berapi Ulawun Meletus Selepas 18 Tahun, Lebih 5 Ribu Penduduk Dipindahkan

Sydney : Lebih 5,000 orang dipindahkan sejak 24 jam lalu selepas gunung berapi meletus dan menghamburkan debu sehingga 19 kilometer ke udara di wilayah barat New Britain, Papua New Guinea (PNG), lapor agensi berita Xinhua.

Gunung Ulawun adalah satu di antara enam gunung berapi paling berisiko di negara Pasifik Selatan itu.

Pegawai bencana Pusat Geologi PNG Martina Taumosi memberitahu akhbar Post Courier pada Khamis letupan kuat yang berlaku pada 11.45 pagi Rabu itu, benar-benar mengejutkan penduduk.

Beliau berkata pihaknya berusaha keras untuk segera memindahkan penduduk di kawasan Ulamona dan Noau ke lokasi selamat di Kabaya.

“Mereka tidak dapat memindahkan penduduk sepantas mungkin disebabkan kekurangan kenderaan.

“Dengan hanya lima kenderaan berulang alik mengangkut penduduk, pasukan penyelamat bekerja tanpa henti bagi menyelamatkan penduduk,” kata pemimpin masyarakat Chris Lagisa.

“Keperluan utama sekarang adalah makanan, air dan perubatan disebabkan penduduk baru sahaja mengharungi musim tengkujuh yang panjang dan hanya bergantung kepada tuaian minyak kelapa,” kata Lagisa.

Pasukan penyelamat wilayah sudah dikerah untuk membuat penilaian kerosakan dan media tempatan melaporkan aliran lahar gunung berapi menyebabkan laluan lebuh raya New Britain di tiga lokasi berasingan, terputus hubungan.

Syarikat penerbangan kebangsaan, Air Niugini membatalkan semua penerbangan ke kawasan berkenaan.

Kali terakhir Gunung Ulawun meletus pada skala besar adalah pada Mei 2001.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.