Siakap Keli
Gambar : Hari Sayyidatina Khadijah

Berjasa Islamkan 20 Orang Asli, Wanita Ini Terima Anugerah Dari Kerajaan Kelantan

KOTA BHARU – Mempunyai kelebihan bertutur dalam bahasa Orang Asli menjadi antara faktor Nur Amalina Ismail, 27, berjaya mengislamkan seramai 20 Orang Asli di Gua Musang sejak tahun 2014.

Beliau dinobatkan sebagai Ikon Masyarakat Kelantan 2019 oleh kerajaan negeri Kelantan yang disampaikan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob pada Majlis Perasmian Hari Sayyidatina Khadijah (HSK) 2019 di sini, semalam.

Ibu kepada dua anak yang berasal dari Pasir Tumboh di sini berkata beliau mula mempelajari bahasa Orang Asli sejak terlibat menjadi Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan sukarelawan di Islamic Outreach ABIM Kelantan sejak tahun 2014 sehingga kini.

“Saya mengambil masa kira-kira empat hingga lima bulan untuk mempelajari asas bahasa Orang Asli melalui beberapa sukarelawan yang lain ketika terlibat dalam program-program dakwah Orang Asli yang dianjurkan,” katanya yang kini menetap di Lojing, Gua Musang.

Gambar : Hari Sayyidatina Khadijah

Nur Amalina berkata, beliau juga mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Fardhu Angah, 29, yang berketurunan Orang Asli suku Temiar pada 2014 yang juga sukarelawan di Islamic Outreach ABIM Kelantan.

“Walaupun pada awalnya ia mendapat sedikit tentangan daripada keluarga, namun akhirnya keluarganya akur selepas melihat keperibadian pilihan hatinya.

“Ia seolah-olah satu kelebihan yang memudahkan urusan dakwah saya terhadap masyarakat Orang Asli apabila saya disatukan dengan suami kerana saya dapat mempelajari bahasa serta mendalami kaum mereka dengan lebih dekat,” katanya.

Katanya, antara pendekatan yang digunakan untuk berdakwah kepada masyarakat Orang Asli adalah dengan memberikan contoh yang baik supaya hati mereka terbuka untuk mengenali, mendalami seterusnya menerima Islam.

“Apabila mendekati masyarakat Orang Asli, kita kena jaga akhlak dan percakapan, kerana mereka akan menilai kita (sebagai orang Islam) dari segi percakapan dan juga tingkah laku yang ditunjukkan kepada mereka,” katanya.

Katanya pada setiap hari Jumaat dan Sabtu, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) akan mengadakan kelas fardu ain di Pos Tuel, Gua Musang kepada kira-kira 1,000 penduduk dari tujuh perkampungan Orang Asli di sekitar Gua Musang.

Sepanjang tugasnya, dia juga pernah menguruskan jenazah Muslim seorang warga emas pada tahun 2016, dan juga seorang kanak-kanak pada tahun ini, selain turut berbakat dalam menghasilkan kraftangan Orang Asli seperti selendang (tempo).

Sumber : Bernama

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.