Siakap Keli

“Kalau Itu Bukan Bidang Kita Jangan Pandai-Pandai,” Peguam Syarie Tegur Selebriti Isu Anak Luar Nikah

Media sosial pada masa kini sering dijadikan tempat untuk mendapatkan dan menyalurkan maklumat sama ada secara tepat mahupun tidak tepat. Berikutan itu, warganet sering menjadikan media sosial untuk mendapat sesuatu pengetahuan berbanding menanyakan persoalan tersebut kepada orang yang benar-benar mengetahui seperti ilmuan dan agamawan.

Baru-baru ini, berikutan jawapan ringkas seorang selebriti mengenai hal berkaitan anak luar nikah, seorang peguam syarie menerusi laman Facebook, Muhammad Syarafi tampil menerangkan dengan lebih lanjut mengenai status anak luar nikah tersebut.

Dear,

Saya ni bukanlah taraf ustad, bukan juga taraf ulama’, tapi saya belajar masa di Kolej dulu, pensyarah-pensyarah kami ajar kalau ilmu tu BUKAN BIDANG kita, janganlah pandai-pandai nak ulas nanti jadi macam ni lah. 

“Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan ugama jika kamu tidak mengetahui.” 
(An-Nahl:43)

Main jawap ikut sedap tangan menaip keypad aja. Ye betul di IG kita tak boleh taip panjang-panjang tapi sekurang-kurangnya biarlah jawapan yang diberi itu ringkas dan padat yang mana bila pembaca kita baca sepintas lalu mereka faham apa implikasi ke atas bacaannya tu.

Kak,

Sebelum kita nak ulas apa-apa isu terutama bab anak luar nikah/anak tak sah taraf yang sensitif dalam masyarakat kita masa kini, kita perlu faham dulu maksud bagi perkataan “anak tak sah taraf” ni dalam istilah bahasa Arab ia disebut “walad al-zina” yang bermaksud anak zina atau anak luar nikah. Para Fuqaha’ bersepakat bahawa anak zina ialah merujuk kepada anak yang dilahirkan hasil perzinaan dan bukan daripada perkahwinan yang sah atau persetubuhan ‘syubhah’ (persetubuhan oleh lelaki dan perempuan yang menyangka mereka adalah suami isteri yang sah).

Oleh itu kesahtarafan seseorang anak adalah merujuk kepada perkahwinan yang sah daripada kedua ibu bapanya. Rasulullah S.A.W bersabda:

Maksudnya : (Kesahtarafan) seorang kanak-kanak berpunca daripada tempat tidur (kedua ibu bapanya yang sah) dan seorang penzina adalah layak ditahan. 
(Riwayat Al-Bukhari)

Kak yang dihormati,

kalau kita lihat berdasarkan peruntukan di dalam Seksyen 2 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Pahang Tahun 2005 menjelaskan bahawa:

“tak sahtaraf” berhubungan dengan seseorang anak, ertinya dilahirkan di luar nikah dan bukan anak daripada persetubuhan syubhah;

Pendapat yang telah difatwakan di Malaysia iaitu Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-6 pada 27 Julai 2004 memperincikan takrifan anak tidak sah taraf sebagai:

1. Anak yang dilahirkan luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan dia bukan daripada persetubuhan syubhah atau anak perhambaan.

2. Anak yang dilahirkan kurang dari 6 bulan 2 lahzah(saat) mengikut takwim kamariah daripada tarikh tamkin(setubuh).

3. Anak yang dilahirkan lebih dari 6 bulan 2 lahzah(saat) mengikut takwim kamariah daripada tarikh tamkin(setubuh) selepas akad yang sah dan ada bukti dari segi syarak bahawa anak tersebut ialah anak tanpa nikah melalui iqrar(pengakuan) mereka yang berkenaan (suami dan isteri atau salah seorang daripadanya) atau empat orang saksi yang memenuhi syarat-syarat mengikut hukum syarak.

Kak,

Selain dari takrifan yang diberi tu kita juga boleh lihat Implikasi dari sudut nasab + penamaan,

Jika seseorang anak lahir dan ianya tidak sah taraf, maka anak tersebut tidak boleh dibinkan kepada bapa zina sebaliknya hendaklah dibinkan/dibintikan Abdullah / nama lain Asmaul Husna berpangkalkan Abdul. Anak tak sah taraf juga tidak boleh dibinkan kepada ibunya kerana boleh menimbulkan kesan psikologi kepada anak tersebut apabila anak tersebut dewasa.

Kak ooo kak,

Jangan terkejut pulak bila tahu Implikasi dari sudut perwalian anak tak sah taraf/luar nikah ni macam mana,

Jika seseorang anak lahir dan ianya tidak sah taraf, maka sekiranya anak tersebut ingin berkahwin ianya memerlukan kepada proses permohonan mendapatkan kebenaran berkahwin menggunakan wali hakim sebagai wali yang layak untuk menikahkannya. sebagaimana yang diterangkan di dalam Seksyen 18(1) (c) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Pahang Tahun 2005:

Rujukan kepada dan tindakan oleh Hakim Syarie

(1) Dalam mana-mana kes berikut, iaitu—

(c) jika pihak perempuan tidak mempunyai wali dari nasab, mengikut Hukum Syarak,

maka Pendaftar hendaklah, sebagai ganti bertindak di bawah seksyen 17, merujukkan permohonan itu kepada Hakim Syarie yang mempunyai bidang kuasa di tempat perempuan itu bermastautin.

DAN di jelaskan pula perkara di atas ni mengikut Seksyen 17 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Pahang Tahun 2005:

Mengeluarkan kebenaran berkahwin

Tertakluk kepada seksyen 18, Pendaftar, apabila berpuashati tentang kebenaran perkara-perkara yang disebut dalam permohonan itu, tentang sahnya perkahwinan yang dicadangkan itu, dan, jika pihak lelaki itu sudah berkahwin, bahawa kebenaran yang dikehendaki oleh seksyen 23 telah diberi, hendaklah, pada bila-bila masa selepas permohonan itu dan setelah dibayar fi yang ditetapkan, mengeluarkan kepada pemohon kebenarannya untuk berkahwin dalam borang yang ditetapkan.

Ini bermaksud, sekiranya anak itu tadi statusnya tidak sah taraf maka segala urusan berkaitan PERKAHWINAN akan terus di serahkan kepada WALI HAKIM atau WALI SULTAN (maksudnya yang sama) sebagai orang bertanggungjawab untuk menikahkan anak itu tadi.

Kak,

Kita juga perlu melihat Implikasi / kesan dari sudut pergaulan + hubungan,

Dari segi perspektif Islam anak tak sah taraf bebas menjalin hubungan / aktiviti seperti apa yang dilakukan oleh kanak-kanak Islam yang sah tarafnya. Pergaulan anak tak sah taraf dengan lelaki yang melakukan persetubuhan dengan ibunya hukumnya adalah sama dengan lelaki asing yang tiada kaitan dengannya kecuali jika tersebut menjadi suami ibunya maka hubungannya adalah seperti ayah tiri.

Perhubungan antara anak tak sah taraf dengan ibunya adalah sama dengan anak sah taraf yang lain. Begitu juga hubungan dengan anak-anak sebelah ibunya yang sah taraf, sama seperti hubungan kekeluargaan lain tetapi perhubungan ini tidak boleh diperluaskan kepada keluarga sebelah bapa yang tidak sah kerana keluarga bapa bukan termasuk ahli keluarganya.

Kak,

Sebelum terlupa kita juga perlu tahu batasan aurat anak tak sah taraf/luar nikah ni,

Orang yang dikira mahram bagi anak ini ialah ibu yang melahirkannya dan semua saudara sebelah ibunya sahaja, datuk, nenek, pakcik, makcik dan anak saudaranya. Begitu juga adik-beradiknya yang seibu. Jadi, dibolehkan bersentuhan dan mendedahkan aurat pada kadar kebiasaan.

Kak,

Adapun ayah kandungnya dan semua pihak di sebelahnya ialah orang asing (ajnabi) dan mereka bukannya mahram bagi anak tersebut serta bukan kaum kerabatnya. Maka, jika anak luar nikah ini ialah seorang perempuan, wajib baginya menutup keseluruh tubuh badan kecuali muka dan tapak tangan di hadapan “ayah”nya itu dan tidak boleh bersentuhan kulit seperti bersalaman. Wuduknya juga akan terbatal mengikut mazhab Syafi’e. Namun, apabila kedua ibu-bapanya menikah, sama ada sebelum atau selepas melahirkan anak tersebut, maka hukum aurat luar nikah ini akan berubah. Ini kerana, setelah akad nikah, lelaki itu telah sah menjadi suami kepada ibunya. Apabila lelaki tersebut bersetubuh dengan ibunya , maka lelaki tadi telah sah menjadi ayah tirinya. Dalam Islam menggariskan bahawa ayah tiri termasuk mahram iaitu haram dinikahi selama-lamanya.

Oh ya, Kak,

Mungkin kak  nak tahu juga Implikasi dari sudut nafkah kan?

Seksyen 81. Kewajipan menanggung nafkah anak-anak tak sahtaraf Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Pahang Tahun 2005 menjelaskan bahawa:

(1) Jika seseorang perempuan cuai atau enggan menanggung nafkah seseorang anaknya yang tak sahtaraf yang tidak berupaya menanggung nafkah dirinya, melainkan seorang anak yang dilahirkan akibat rogol, Mahkamah boleh, apabila hal itu dibuktikan dengan sewajarnya, memerintahkan perempuan itu memberi apa-apa elaun bulanan yang difikirkan munasabah oleh Mahkamah.

(2) Elaun bulanan di bawah seksyen ini hendaklah kena dibayar dari tarikh bermulanya kecuaian atau keengganan menanggung nafkah itu atau dari sesuatu tarikh yang kemudian mengikut sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah itu.

Kak,

Tingginya darjat si anak ni sampaikan Implikasinya dari sudut penjagaan ada disebut dalam peruntukkan undang-undang tau?

Seksyen 86 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Pahang Tahun 2005 menjelaskan bahawa:

Penjagaan kanak-kanak tak sahtaraf adalah semata-mata pada ibu dan saudara mara ibu.

Kak,

Saya tahu mesti kak pun nak tahu Implikasi dari sudut harta pusaka kan?

Anak tak sah taraf tidak terputus hubungan kekeluargaan dengan ibunya. Begitu juga ibu tidak terputus hubungan kekeluargaan dengan anak tersebut. Oleh yang demikian kedua-duanya saling boleh mewarisi pesaka antara satu sama lain.

Sebaliknya seorang anak tak sah taraf tidak boleh mempusakai harta bapanya. Begitu juga bapa tidak boleh mewarisi harta anak tersebut kerana kedua-duanya telah terputus hubungan kekeluargaan.

Kak

Antara perkara yang kita sering terlepas pandang berkenaan anak tak sah taraf/luar nikah ni adalah Implikasi dari sudut kematian,

Jika anak tak sah taraf tersebut meninggal dunia sebelum baligh maka agamanya berpandukan kepada agama ibunya. Jika ibunya Islam maka ianya hendaklah diuruskan secara Islam. Jika ibunya bukan beragama Islam maka anak tak sah taraf tersebut dihukum sebagai bukan Islam sekalipun yang menyetubuhi ibunya adalah seorang Islam.

Tapi kan kak,

Implikasi dari sudut amal kebajikan anak tu tadi pun kita kena amik tahu ya?

Amal kebajikan anak tak sah taraf samada untuk diri sendiri / untuk masyarakat [fardhu ain/ fardhu kifayah] adalah sama kaedahnya dengan anak sah taraf yang lain. Seorang anak tak sah taraf sebenarnya seorang yang suci dan bersih dari sebarang dosa ibu bapanya.

Kak,

Untuk urusan pertukaran Status Anak Tak Sah Taraf ni kita kena faham begini 

Seseorang anak tak sah taraf boleh bertukar sifatnya apabila dia dibuang oleh ibunya dan dijumpai oleh orang lain. Pada ketika itu statusnya akan bertukar menjadi anak laqit (iaitu anak pungut). Dia akan menjadi anak angkat kepada sesiapa yang memungut dan diberi tanggungjawab memeliharanya berdasarkan peruntukan yang diberikan kepada seorang anak angkat.

Maksud bagi Al-Laqith ialah: kanak-kanak yang dibuang di jalan atau di mana-mana tempat dan tidak ada sesiapa yang mengakui sebagai anaknya.

Dalil Disyariatkan mengambil anak buangan:

“Dan berbuatlah kebaikan mudah-mudahan kamu berjaya” 
(Al-Hajj: 77)

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ

“dan bertolong-menolonglah dalam (membuat) perkara-perkara kebaikan dan ketakwaan” 
(Al-Maidah: 2)

وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَا أَحْيَا النَّاسَ جَمِيعًا ۚ

“dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seseorang, seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia kesemuanya”
(Al-Maidah:32)

Sabda Rasulullah S.A.W: “sesiapa yang melepaskan salah satu kesusahan seseorang mukmin di dunia, Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat. sesiapa yang menutup keaiban seorang muslim, Allah akan menutup keaibannya di dunia dan di akhirat. Allah akan membantu seseorang hamba selagi mana dia membantu saudaranya”.

Kak,

Anak tak sah taraf ni bukanlah seorang insan yang terbiar dan tidak bermaruah seperti yang disangkakan oleh sesetengah masyarakat. Malah dari sudut agama dan undang-undang, dia mendapat perlindungan penuh daripada ibunya, keluarga ibunya dan juga pemerintah. Anak tak sah taraf juga berhak mendapat keistimewaan, faedah, kebajikan, pendidikan dan boleh melakukan aktiviti-aktiviti harian sepertimana kanak-kanak lain yang sah tarafnya. Masyarakat harus memberi pertimbangan yang adil terhadap kedudukan anak tak sah taraf. Dengan adanya pertimbangan yang adil, maka akan terhapus tekanan yang sering menghantui hidupnya. Oleh itu dia mampu menjadi insan soleh dan berguna untuk agama, bangsa dan negaranya.

Regards,
Peguam Hipstur Patuh Syariah.

#CelikSyariah
#SyarieCounsel
#MelakaNPahang
#MuhammadSyarafiNPartners

Diharapkan, melalui perkongsian tersebut dapat memberi pencerahan kepada semua orang agar lebih dapat memahami konsep anak luar nikah yang sebenarnya. Selain itu, melalui pencerahan yang diberikan dapat menyelesaikan kekeliruan yang timbul mengenai perkara ini.

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa