Siakap Keli
Foto: BMW Blog/Top Speed

Kereta Lumba Formula 1 Pernah Dipandu Sebastien Vettel Ingin Dijual

Jika anda mempunyai wang yang banyak, kereta apa yang anda berminat untuk beli? Pasti ramai yang akan jawab kereta-kereta seperti Ferrari Spider, Lamborghini Aventador, Ford Mustang, BMW i8 dan sebagainya.

Boleh dikatakan kemungkinan untuk menemui individu yang menjawab sebuah kereta Formula 1 adalah sangat kecil. Tetapi jika anda terjumpa seseorang yang berminat dan mampu untuk membeli sebuah kereta F1, beritahunya bahawa dia berpeluang mendapatkannya ketika ini.

Foto: Top Speed

Ini kerana sebuah kereta asli Formula 1 milik BMW-Sauber model F1.07-06B sedang ditawarkan kepada pembeli di laman Racecars Direct sekarang. Model ini digunakan oleh pasukan berkenaan semasa musim perlumbaan 2007 yang lalu.

Apabila kami katakan kereta asli, ia sememangnya kereta lumba yang digunakan dalam perlumbaan F1 satu ketika dulu. Ia dilengkapi peralatan dan perkakasan seperti stereng, transmisi, suspensi dan sistem brek yang asal.

Akan tetapi, untuk memandu kereta ini, anda perlu mencari enjin yang sesuai sendiri kerana ia tidak hadir dengan enjin.

Untuk pengetahuan anda, setiap satu daripada komponen ini bernilai sekurang-kurangnya RM200,ooo dan boleh mencapai harga sehingga RM400,000.

Itu baru komponennya sahaja, harga keretanya pula entah berapa pula agaknya. Dalam penyenaraian di laman Race Cars Direct, mereka tidak menyatakan harga bagi kereta tersebut tetapi ia didakwa kini berada di Switzerland, menanti untuk pemilik barunya.

Foto: Reddit

Menariknya, kereta model ini juga pernah dipandu oleh juara dunia empat(4) kali, Sebastian Vettel yang kini sedang mewakili pasukan Scuderia Ferrari dalam musim ini.

Tambahan pula, pada sisi dan sayap kereta ini terpampang jenama Petronas yang merupakan salah satu penaja mereka pada musim berkenaan. Mungkinkah pemilik kereta ini nanti akan berasal dari Malaysia? Siapa tahu.

Sumber: Race Cars Direct, Carscoops

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi