Siakap Keli
Gambar: Selangor Kini

LRA Sungai Semenyih Dijangka Beroperasi Semula Mulai 11 Pagi Esok

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) — Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih yang kini dihenti operasi susulan insiden pencemaran, dijangka dapat dioperasikan semula  mulai 11 pagi esok.

Menurut Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), situasi itu bagaimanapun bergantung kepada  keadaan cuaca dan aliran di sungai dan tiada lagi pencemaran.

Loji itu akan mengambil masa tiga jam bagi menstabilkan semula operasi, dan pemulihan bekalan air adalah secara berperingkat serta bergantung kepada lokasi dan altitud kawasan terjejas.

“Kami menyasarkan pemulihan sepenuhnya bagi keseluruhan kawasan terjejas akan mengambil masa dalam tempoh 72 jam selepas loji kembali beroperasi sepenuhnya,” jelas Syabas.

Menurutnya, 512 kawasan melibatkan 377,141 pelanggan berdaftar di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang akan terkesan dengan gangguan bekalan air dan tekanan rendah secara berperingkat susulan insiden itu.

LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas sejak 5 petang tadi susulan pencemaran bau di Sungai Semenyih dan punca pencemaran yang berada pada jarak 16 km dari muka sauk loji telah dikenal pasti.

“Agensi penguatkuasaan kerajaan negeri Selangor telah mengambil tindakan segera bagi menghentikan aliran pencemaran ke sungai,” jelas Syabas.

Orang ramai boleh merujuk makluman rasmi dan status terkini melalui laman sesawang www.syabas.com.my, aplikasi telefon bimbit Air Selangor, Facebook dan Twitter Air Selangor.

Sumber: BERNAMA

syafiq halim

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di