Siakap Keli

Pilu, Dua Pelarian Maut Lemas, Kanak-Kanak Berpaut Pada Leher Ayah Hingga Hujung Nyawa

Seorang lelaki dengan anak perempuannya berusia 23 bulan ditemui maut dalam keadaan terlungkup di dalam air cetek di tebing sungai Rio Grande. Lebih menyedihkan, kanak-kanak itu dilihat merangkul leher ayahnya menunjukkan dia bergantung kepada si ayah hingga hujung nyawanya.

Mereka merupakan antara migran dari Amerika Tengah yang melarikan diri daripada kekejaman dan kemiskinan di negara asal untuk berlindung di Amerika Syarikat (AS).

Kejadian tersebut berlaku ketika mereka sekeluarga yang berasal dari El Salvador ingin ke AS melalui jalan sungai.

Si ayah, Martinez dikatakan telah menghantar anaknya, Valeria ke tebing sungai di AS sebelum berpatah balik untuk mengambil isterinya, Tania Vanessa Avalos. Tetapi sejurus melihat ayahnya berenang pergi, Valeria terjun ke dalam air.

Martinez kembali untuk menyelamatkan Valeria tetapi arus yang deras menghanyutkan mereka berdua.

“Ketika kanak-kanak itu terjun, Martinez cuba mencapainya tetapi apabila dia berjaya mendapatkan anaknya itu, mereka telah hanyut dan tidak dapat keluar,” kata ibu Martinez, Rosa Ramirez. Rosa dimaklumkan tentang kejadian itu oleh menantunya sejurus selepas tragedi.

Ramirez menambah, “Dia kemudiannya memasukkan anaknya ke dalam baju, saya dapat bayangkan dia memberitahu dirinya sendiri, ” Saya sudah datang sejauh ini, saya akan terus bersama dia.”

Menurut media antarabangsa, kemalangan jiwa sering berlaku di laluan dari Padang Pasir Sonoran ke Rio Grande, sempadan antara AS dan Mexico sepanjang 2,000 batu (kira-kira 3218 km).

Tahun lepas sahaja, seramai 283 migran terkorban ketika cuba menyeberangi sempadan berkenaan.

Gambar: AP
Gambar: AP

Media Mexico menyamakan tragedi ini dengan tragedi menimpa kanak-kanak lelaki Syria, Alan Kurdi yang ditemui lemas di Pulau Kos, Greece.

Sumber: AP

Amira

Love yourself.